Banjir: Jalaluddin Rakam Terima Kasih Kepada Semua Pihak

SEREMBAN, 5 Dis – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam operasi menyelamat mangsa banjir di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dalam kenyataan ringkas di Facebook miliknya, Jalaluddin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah bertungkus lumus membantu dalam operasi berkenaan.

Jalaluddin turut memuatnaik satu info grafik berkaitan kejadian banjir di negeri ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu operasi banjir di Negeri Sembilan yang berlaku pada 29 November lalu.

“Terima kasih orang baik-baik,” tulisnya.

Beberapa kawasan di negeri ini meliputi daerah Tampin, Kuala Pilah , Jempol dan Port Dickson dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak 28 November.

Berikutan itu 660 buah keluarga diarah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Untuk rekod, daerah Tampin merupakan kawasan paling teruk terjejas apabila 12 PPS dibuka, diikuti Kuala Pilah, Jempol dan Port Dickson.

Penduduk yang tinggal di Taman Pinggiran Sungai Kelamah,Gemas turut mendakwa banjir kali ini lebih teruk berbanding kejadian dua tahun lalu.

Ia turut diakui Ketua Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Mohd Azhari Mohd Diah, 56, yang menjelaskan 80 peratus daripada keseluruhan 317 rumah di taman berkenaan dinaiki air selepas hujan berterusan selama enam jam dan turut menyifatkan banjir kali ini lebih teruk berbanding dua tahun lalu

Jalaluddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut melawat PPS paling ramai mangsa iaitu di Sekolah Kebangsaan (Felda) Sungai Kelamah dan Taman Pinggiran Sungai Kelamah pada 29 November.

Dalam lawatan itu, beliau telah memberi komitmen bahawa pihak kerajaan akan sentiasa memastikan keperluan asas mangsa dapat dipenuhi mengikut prosedur operasi standard bencana ditetapkan.

Secara keseluruhan, sebanyak 22 PPS telah dibuka di negeri ini dan kesemua PPS berkenaan ditutup pada 1 Disember lalu.

Sementara itu,Kerajaan Negeri Sembilan akan menyalurkan sumbangan bernilai RM1,000 kepada lebih 700 ketua isi rumah (KIR) dan RM500 kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir minggu lalu.

Selain ketua isi rumah berkenaan juga akan menerima sumbangan RM1,000 yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan melalui bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di seluruh negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit