Sumbangan ‘Tak Banyak Alasan’, Komitmen UMNO Putrajaya Teruskan Khidmat Bakti
PUTRAJAYA, 4 Dis – Keteguhan semangat melaksanakan khidmat bakti bagi UMNO terus tercermin melalui inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan oleh UMNO Bahagian Putrajaya yang diketuai oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Ketua Penerangannya, Tengku Muhammed Hafiz memaklumkan bahawa inisiatif turun padang menyantuni rakyat dilakukan secara terancang melalui sumbangan ‘Tak Banyak Alasan’ yang digerakkan oleh anggota jawatankuasanya.
Katanya yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO, sebagai parti yang berteraskan perjuangan untuk kepentingan rakyat, UMNO sentiasa berusaha untuk berada di barisan hadapan dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Program ‘Tak Banyak Alasan’ ini merupakan salah satu contoh terbaharu komitmen UMNO dalam melaksanakan khidmat bakti kepada masyarakat, khususnya penduduk Putrajaya.
“Inisiatif ini bukan hanya sekadar bantuan fizikal, tetapi juga sebagai simbol keprihatinan UMNO terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, program ini dijayakan hasil kerjasama erat antara Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya dan Biro Kebajikannya yang berkolaborasi bukan sahaja untuk menyalurkan bantuan bahan asas makanan dan barangan keperluan, tetapi juga menekankan aspek semangat kebersamaan serta sokongan sosial dalam kalangan masyarakat.
“Bantuan ini adalah tanda sokongan dan perhatian UMNO Bahagian Putrajaya kepada rakyat. Kami di UMNO tidak mahu rakyat merasakan mereka dibiarkan tanpa pembelaan lantaran ada wakil rakkyat yang tidak muncul.
“Kami percaya dengan membantu mereka, kita bukan hanya akan dapat meringankan beban kehidupan seharian tetapi juga menyemai semangat kebersamaan dan perpaduan yang amat penting dalam masyarakat.
“Bantuan yang diberikan adalah salah satu cara UMNO menunjukkan keprihatinannya. UMNO tidak akan berhenti untuk membantu mereka yang memerlukan, dan kami akan terus berusaha untuk memberi yang terbaik untuk masyarakat.”
Melalui inisiatif ini juga katanya, terbukti UMNO adalah parti yang tidak banyak alasan waima bukan ahli Parlimen atau wakil rakyat.
“UMNO memperlihatkan bahawa kita tidak hanya berpolitik, sebaliknya turut memainkan peranan sebagai penjaga kebajikan dan menyemai kesejahteraan di samping sentiasa siap sedia untuk membantu.
“Ini adalah bukti bahawa UMNO, sebagai parti, tetap komited dalam memperbaiki kehidupan masyarakat dan menjaga kesejahteraan penduduk,” katanya.
Terang Tengku Muhammed Hafiz, dengan usaha berterusan dan sokongan daripada semua pihak, UMNO Bahagian Putrajaya berharap agar program-program seperti ini dapat memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.
“Ini adalah satu langkah menuju ke arah memperkukuhkan ikatan antara parti dan rakyat, serta membuktikan bahawa khidmat bakti adalah nilai utama dalam perjuangan UMNO.”
Terdahulu, gerak kerja program ‘Tak Banyak Alasan’ telah dilaksana dengan memberikan sumbangan kepada penduduk di Presint 9G/4 di sini. – UMNO Online