Skandal Sabah Mineral Management: Pemuda UMNO Sabah Gesa Siasatan Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 4 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Sabah mendesak agar siasatan menyeluruh dan bebas dilakukan terhadap salah laku Sabah Mineral Management Sdn Bhd.
Ketuanya, Sufian Abd Karim berkata pendedahan hasil siasatan perlu dimaklumkan kepada rakyat Sabah kerana mereka berhak mengetahui keadaan sebenar dan hasil siasatan dilaporkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap pentadbiran negeri.
“Pergerakan Pemuda UMNO Sabah ingin menyuarakan kebimbangan serius terhadap isu-isu yang melibatkan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berkaitan skandal Sabah Mineral Management Sdn Bhd.
“Berdasarkan video-video yang tular, terdapat dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa, dan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam hal yang sama, beliau menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk meletakkan jawatan agar siasatan mengenai salah laku terbabit dapat dijalankan dengan bebas dan telus.
“Sebagai Ketua Menteri dan individu yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal negeri, Datuk Seri Hajiji Noor mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini.
“Oleh itu, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah mendesak agar Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah agar siasatan dapat dijalankan secara bebas dan telus tanpa menganggu pentadbiran negeri Sabah,” katanya lagi.
Tegasnya, perkara ini amat membimbangkan kerana ia mampu menyebabkan kerugian besar kepada Negeri dan rakyat Sabah.
“Sebagai rakyat Sabah, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah tidak lagi boleh berdiam diri. Adalah perkara yang sangat membimbangkan apabila wujud dakwaan bahawa sumber kekayaan negeri ini telah disalahgunakan sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negeri dan rakyat Sabah.
“Kekayaan Sabah adalah milik rakyat, bukan milik segelintir,” katanya lagi.
Sebelum ini, tular beberapa buah klip video yang disebarkan oleh ‘whistleblower’ mengenai skandal ini di media sosial.
Pada Selasa media melaporkan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung video dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengan beliau.
Masidi berkata, beliau datang sendiri ke pejabat SPRM Kota Kinabalu untuk memberi keterangan kepada agensi penguat kuasa berkenaan.
Masidi mendakwa video memaparkan perbualannya dengan seorang individu berhubung dana RM300,000 yang dikaitkan dengannya sudah disunting. – UMNO Online