Puteri UMNO Sabah Desak Siasatan Telus Dan Penuh Terhadap Kontroversi Sabah Mineral Management
KOTA KINABALU, 4 Dis – Pergerakan Puteri UMNO Sabah dengan tegas mendesak supaya siasatan penuh dijalankan berhubung kontroversi yang melibatkan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) serta video-video tular yang melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah baru-baru ini.
Menurut Ketuanya, Ummi Nabilah Jamal, isu yang timbul ini memberi tamparan hebat terhadap usaha-usaha kerajaan untuk memastikan pengurusan hasil bumi Sabah dilakukan secara cekap, telus, dan berlandaskan keadilan sosial.
Beliau juga menegaskan bahawa kehilangan hasil kekayaan negeri mencerminkan kegagalan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, serta Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memelihara amanah rakyat.
“Dalam hal ini, Pergerakan Puteri UMNO Sabah menuntut dua perkara utama: pertama, perletakan jawatan segera Ketua Menteri Sabah demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri; kedua, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama agensi-agensi berkaitan perlu menjalankan siasatan bebas terhadap ADUN-ADUN yang terlibat dalam video tular serta Sabah Mineral Management Sdn Bhd,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau menyeru agar rakyat Sabah bangkit dan bersuara demi menuntut kepimpinan yang lebih telus, berintegriti, dan bertanggungjawab.
“Rakyat Sabah berhak mendapat pemimpin yang boleh menjaga kepentingan mereka dengan penuh amanah,” katanya lagi.
Isu yang berbangkit ini kini menjadi perbualan hangat di kalangan rakyat Sabah, dan mereka menuntut penyelesaian yang memuaskan serta keadilan yang tidak berpihak.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM Sabah sudah memulakan siasatan membabitkan dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral membabitkan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan ADUN.
SPRM dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.
Menurutnya, siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah dengan ahli perniagaan terbabit. – UMNO Online