Noraini Hadir Ke Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) 2024

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah hadir ke Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 pada Selasa.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO memaklumkan bahawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah merasmikan dan melancarkan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU pada majlis tersebut.

“Hari ini saya menghadiri Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang telah dirasmikan oleh Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri KPWKM.

“Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 pada tahun ini bertemakan ‘Memperkasa Kepimpinan OKU Demi Inklusiviti Mampan’. Pada majlis itu, Menteri KPWKM turut melancarkan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU.

“Dalam pembangunan modul ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bekerjasama dengan tiga universiti tempatan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) yang bertanggungjawab untuk Pembangunan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU Pembelajaran yang Generik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut diberikan peranan masing-masing.

“UM pula untuk Pembangunan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU Autisme manakala UIAM terlibat dalam Pembangunan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU Sindrom Down.

“Sembilan anugerah juga disampaikan untuk menghargai pencapaian individu dan organisasi yang memberikan sumbangan signifikan terhadap OKU, antaranya Anugerah Khas OKU (Akademik), Anugerah Khas OKU (Usahawan), Anugerah Khas Ibu Bapa Mithali OKU dan Anugerah Majikan Prihatin (Swasta),” katanya.

Terdahulu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari OKU sedunia dan memaklumkan bahawa ia merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan yang harus dimainkan.

“Sambutan Hari OKU Sedunia yang diraikan pada setiap 3 Disember merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab untuk bersama-sama memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kemampuan serta sumbangan OKU.

“Sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Memperkasa Kepimpinan OKU, Demi Inklusiviti Mampan’ menekankan kepentingan memberi ruang dan peluang kepada golongan ini untuk memimpin dan berperanan aktif dalam masyarakat.

“Semoga Hari OKU Sedunia ini menjadi detik untuk kita bersama-sama memperkuat komitmen dalam membina dunia yang lebih mesra, adil dan sejahtera untuk semua. Selamat Hari OKU Sedunia,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit