Lebih 30 Tahun Pas Memerintah, Masalah Banjir Tidak Pernah Selesai – Wan Mahussin

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Meskipun sudah lebih 30 tahun Pas memerintah Negeri Kelantan, masalah banjir ketika musim peralihan monsun yang acapkali berlaku pada setiap akhir tahun tidak pernah selesai dan menemui titik noktah.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, Kerajaan Negeri Kelantan yang ditunjangi oleh Pas tidak pernah melakukan apa-apa usaha untuk mengurangkan risiko malah menambah beban kepada bencana tersebut.

“34 tahun ini bukan tempoh yang singkat. Sebab apa bencana ini tidak boleh diselesaikan? Ini kerana mereka tidak berbuat apa-apa malah menambah kesan dan beban kepada banjir.

“Saya ambil satu contoh di kawasan tanah pertanian iaitu sawah-sawah padi. Sekarang ini kerajaan dah meluluskan tanah pertanian menjadi tanah komersial yang membolehkan rakyat membina rumah di atas sawah padi.

“Apabila kawasan-kawasan ini yang dahulunya merupakan pusat tadahan air ketika banjir, akan menjadi lapang dan menyebabkan air itu bertakung. Apa yang paling menyedihkan, kerajaan tidak menyediakan prasarana dan fasiliti. Rumah-rumah yang dibina itu tiada longkang dan air tidak boleh dialirkan dengan baik,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, masalah yang sama turut berlaku di ibu kota Negeri Kelantan iaitu Kota Bharu di samping isu penebangan balak secara berleluasa oleh pihak kerajaan negeri tersebut.

“Ini permasalahan di Kelantan. Kalau kita lihat di Kota Bharu, longkang-longkang di depan kedai… ada kawasan yang tidak mempunyai longkang. Jadi air-air ini nak dialirkan ke mana? Air-air ini sudah tentu tidak boleh dialirkan dan akhirnya menyebabkan banjir berlaku.

“Kedua, kita dapat lihat bahawa kerajaan negeri rakus menebang balak. Apabila kita meminta penjelasan mereka berkata balak ini bukan faktor kepada banjir, tetapi hujan. Ya, betul. Banjir ini berlaku kerana hujan. Tetapi apabila ia turun ke bumi, hujan itu tidak boleh diserap oleh tanah kerana botak akibat penebangan balak ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa cadangan yang dibuat oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Kamarudin Md Noor untuk menjadikan banjir sebagai produk pelancongan adalah salah satu bukti mereka tidak mahu menyelesaikan masalah banjir.

“Sepatutnya itulah yang perlu difikirkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan tetapi mereka akan salahkan pihak kerajaan pusat atas faktor ‘dianaktirikan’ dan sebagainya. Walhal ini adalah alasan untuk mereka tidak menyelesaikan masalah seperti cadangan exco tersebut.

“Jadi, selepas ini jika rakyat berdoa ‘Ya Allah selamatkanlah kami daripada banjir… jangan ada banjir lagi’. Tetapi pemimpin Pas Kelantan ,mereka angkat tangan ‘Ya Allah percepatkanlah banjir kerana kami nak buat event yang besar. Ya Allah biarlah banjir kali ini lebih ekstreme kerana kami nak sediakan sukan lasak ketika banjir lebih baik dari tahun lepas’.

“Inilah mentaliti para pemimpin Pas yang tidak berfikir untuk rakyat. Tetapi, mereka berfikir untuk sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit