UMNO Terus Bergerak Ke Hadapan Demi Perpaduan Dan Kesejahteraan Rakyat – Zakwan Abdullah
KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis, Mohd Zakwan Abdullah menyokong keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan terus menjadi suara rakyat dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, ia jelas menunjukkan komitmen UMNO bagi memastikan setiap dasar dan langkah yang diambil benar-benar membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Kita semua ada tanggungjawab masing-masing. Dengan semangat perpaduan dan usaha yang berterusan, saya percaya UMNO akan terus menjadi tunggak harapan rakyat dan memastikan masa depan negara yang lebih gemilang.
“Saya harap Menteri, Timbalan Menteri dan wakil-wakil UMNO dalam kerajaan terus komited malah ini adalah masa untuk kita membuktikan bahawa UMNO mampu menjadi pemimpin yang cemerlang.
“Tugasannya bukan sekadar menjaga nama UMNO, tetapi juga memastikan prestasi mereka mencerminkan kekuatan parti. Kejayaan wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah kejayaan parti dan keyakinan rakyat terhadap UMNO akan terus kukuh jika kita bekerja dengan ikhlas dan gigih,” katanya.
Mengulas lanjut kata Zakwan, sebagai ahli UMNO harus memberikan sokongan penuh kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta seluruh kepimpinan MKT atas keputusan-keputusan yang diambil.
“Keputusan ini memperlihatkan semangat kesepakatan dalam kepimpinan parti untuk memastikan UMNO kekal kuat, relevan, dan menjadi pilihan rakyat,” katanya lagi.
Dalam hal lain, beliau terharu dengan kebijaksanaan kepimpinan MKT yang menarik semula penggantungan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Ujarnya, jelas terbukti bahawa kepimpinan MKT UMNO mengamalkan perpaduan dan sentiasa memberi kemaafan kepada ahli parti.
“Keputusan menarik semula penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga menunjukkan betapa UMNO adalah sebuah parti yang mengutamakan perpaduan dan sentiasa membuka ruang kemaafan.
“Sebagai anak muda dalam parti, menyokong penuh usaha untuk menyatukan semula ahli-ahli yang setia kepada perjuangan UMNO. Mereka ini mempunyai pengalaman dan kekuatan yang mampu memperkasakan parti, terutamanya dalam menghadapi cabaran politik masa kini,” jelasnya.
Katanya, dalam masa yang sama langkah berani yang dibawa oleh kepimpinan parti dengan memperkenalkan ‘Sekolah Politik’ mampu melahirkan generasi muda yang berdaya saing ke peringkat seterusnya.
“Langkah memperkenalkan Sekolah Politik pula satu inisiatif hebat yang membuktikan UMNO serius mahu melahirkan generasi muda yang berdaya saing.
“Kita perlukan pemimpin muda yang berwawasan, memahami isu semasa dan bersedia memikul tanggungjawab besar demi negara,” tegasnya. – UMNO Online