Suhaimi Mohon Perhatian Khusus Sasaran Sifar Sekolah Daif

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir menyambut baik hasrat Kerajaan untuk mencapai sasaran sifar sekolah daif menjelang 2029.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran juga memohon agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat meneliti sekolah-sekolah tersebut serta menjadikan ianya sebagai senarai keutamaan negeri bagi tahun 2025.

“Di Parlimen Libaran terdapat 16 buah sekolah yang daif dan amat memerlukan perhatian daripada kerajaan. Sekolah-sekolah tersebut seperti Sekolah Kebangsaan Sekilan Desa dan Sekolah Kebangsaan Gum-Gum Kecil yang menghadapi masalah infrastruktur seperti bangunan yang lama. Sekolah tersebut juga menghadapi masalah kekurangan kemudahan asas seperti tandas dan bekalan air bersih.

“Manakala para pelajar di Sekolah Kebangsaan Tanjong Pisau dan Sekolah Kebangsaan Sungai Manila pula, mereka terpaksa menggunakan kabin usang yang mengalami masalah pendawaian elektrik sebagai kelas pembelajaran.

“Sekolah-sekolah tersebut adalah tidak kondusif untuk para pelajar bagi menumpukan perhatian untuk pembelajaran. Mereka juga terpaksa berhadapan dengan risiko keselamatan memandangkan bangunan tersebut adalah tidak selamat digunakan,” katanya ketika membahas Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan Malaysia, di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa yang sama Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah mencadangkan agar Kementerian mengguna pakai semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai satu kaedah penilaian akademik.

“Ujian seperti UPSR di peringkat sekolah rendah adalah penting bagi mengenal pasti tahap penguasaan 3M dan pencapaian akademik seorang murid. Hasil daripada ujian tersebut juga boleh digunakan bagi proses penempatan ke sekolah menengah atau sekolah berasrama penuh.

“Subjek yang perlu untuk UPSR pula, dikurangkan kepada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik. Pembelajaran berasaskan ‘inquiry and exploration’ serta penaksiran bagi perkembangan pelajar berasaskan kaedah tersebut boleh dilaksanakan. Tetapi, ianya hanya terpakai kepada subjek-subjek tertentu seperti Sains serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

“Kaedah pentaksiran semasa yang digunakan bagi menilai pelajar adalah kurang sesuai. Tidak semua sekolah mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan penaksiran berasaskan sekolah dengan efektif, terutamanya di kawasan pedalaman Sabah,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi dengan cadangan ini penilaian terhadap penguasaan akademik serta perkembangan pelajar dapat dilaksanakan secara holistik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit