RUU Keselamatan Dalam Talian Bakal Dibentangkan Pada Sidang Parlimen Kali Ini – Azalina
KUALA LUMPUR, 3 Dis – Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian akan dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia telah mengemukakan RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada Isnin.
“Saya telah mengemukakan RUU Profesion Undang Undang (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali yang pertama di Dewan Rakyat. Sebelum itu, saya dikunjungi oleh sahabat yang juga mantan timbalan saya, Ramkarpal Singh bersama wakil dari ‘Anti Death Penalty Asia Network’ untuk berbincang pelbagai perkara yang menyentuh reformasi perundangan dan institusi.
“Waktu rehat sidang dewan saya manfaatkan dengan membuat rakaman podcast #CikguUndangUndang Episod 4 yang akan membawa perbincangan mengenai isu yang sangat relevan pada masa kini dan melibatkan semua peringkat dalam Malaysia iaitu Keselamatan Dalam talian.
“Saya amat gembira kerana panel jemputan yang terdiri dari pakar-pakar berkaitan dengan isu dapat hadir ke sesi rakaman ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, pakar perlembagaan tersohor negara, Prof Datuk Noor Aziah, Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia dan Prof Dr Sivamurugan Pandian, pensyarah undang-undang dan penganalisis politik terkemuka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut ke taklimat daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan menyantuni ketua-ketua blok FELDA Pengerang yang mengadakan lawatan ke Parlimen.
“Selesai rakaman, bergegas hendak ke taklimat daripada pihak MCMC namun sempat menyantuni ketua-ketua blok FELDA di Pengerang yang kebetulan juga mengadakan lawatan ke Parlimen.
“Kemudian terserempak dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan kami berkesempatan merakam gambar kenangan dengan sekumpulan siswa-siswi jurusan undang-undang dari Universiti Malaya (UM) yang kebetulannya kami berdua merupakan alumni. Gambar ini tambah bermakna dengan adanya Prof Datuk Dr Shad Saleem yang sangat dihormati di UM,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap RUU Keselamatan Dalam Talian mampu membendung masalah jenayah dalam talian.
“Selepas itu, saya hadir ke taklimat anjuran MCMC berhubung beberapa pindaan perundangan melibatkan keselamatan dalam talian dan buli siber yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
“Kemudian, saya pula memberikan taklimat kepada agensi-agensi kerajaan berkenaan cadangan RUU Keselamatan Dalam Talian yang Insya-Allah akan dibentangkan pada sidang ini. Saya turut ditemani oleh Fahmi kerana kedua-dua perundangan ini saling berkait rapat.
“Kami harap dengan adanya usaha-usaha ini, Kerajaan Madani dapat membendung masalah jenayah dalam talian seperti ‘online scam’, ekploitasi seksual terhadap kanak-kanak dalam talian dan buli siber, insyallah,” katanya lagi. – UMNO Online