Misi Kemanusiaan: Norliza Santuni Mangsa Banjir Di Kedah
ALOR SETAR, 3 Dis – Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, yang juga Pengerusi PTPTN, meneruskan misi kemanusiaan dengan melaksanakan lawatan kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, hari ini.
Dalam misi ini, beliau menyantuni mereka yang berada di PPS SMK Tengku Anum, Kedah di samping menyalurkan bantuan untuk meringkan beban yang dialami.
“Semoga bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mereka yang terkesan dan memberi sedikit keceriaan dalam saat-saat sukar ini,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Terdahulu beliau turut bersama dengan krew duta-duta HAWA Pulang Pinang yang mengunjungi PPS Padang Pekan, Kedah, untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Selain daripada bantuan kewangan dan barangan keperluan asas seperti makanan serta pakaian, pasukan misi juga memberikan sokongan emosi kepada mereka yang terjejas oleh bencana alam ini.
Dalam misi tersebut, Norliza turut diiringi oleh pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) serta penyumbang-penyumbang dari HAWA Perak, UDA Holdings Berhad, Royale Chulan Pulau Pinang, serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang telah menyumbangkan tenaga dan sumber.
“Kami berusaha untuk meringankan beban mangsa banjir dengan menyediakan bantuan seperti makanan, pakaian, serta keperluan asas lain. Turut memberi sokongan emosi kepada mereka yang terjejas.
“Saya berharap sedikit bantuan ini dapat memberikan sinar harapan dan semangat kepada mereka dalam menghadapi ujian besar ini,” katanya.
Ujarnya lagi, misi kemanusiaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara, serta menunjukkan semangat solidariti dan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan bantuan pada waktu-waktu sukar seperti ini. – UMNO Online