Kesatuan Dalam UMNO, Akar Umbi Perkukuh Kelangsungan Perjuangan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 3 Dis – Dalam usaha memperkukuh kesatuan dalam parti, Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, bersama dengan Ahli Jawatankuasanya telah mengadakan lawatan ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Katanya, gerak kerja turun padang menyantuni kepimpinan di cawangan-cawangan UMNO adalah antara usaha memastikan sokongan daripada akar umbi terus kukuh demi kelangsungan perjuangan parti.

“Kesatuan dalam parti adalah asas penting untuk mencapai kejayaan, dan saya amat menghargai usaha dan komitmen daripada setiap peringkat ahli UMNO yang sentiasa bekerja keras, baik di peringkat cawangan mahupun di peringkat PDM.

“Tanpa sokongan mereka, banyak inisiatif dan gerak kerja yang tidak dapat dilaksana malah mereka ini adalah mata dan telinga yang menjadi saluran antara UMNO dengan masyarakat setempat,” ujar kepada UMNO Online.

Menurut Sharif Musa sokongan dan kekuatan daripada akar umbi adalah nadi utama dalam memperkukuhkan parti, tidak kira dalam menghadapi pilihan raya mahupun dalam menjalankan agenda kesejahteraan rakyat.

“Kami sentiasa berusaha untuk menjadi suara rakyat dan memperjuangkan agenda kesejahteraan masyarakat. Setiap ahli UMNO, dari peringkat akar umbi hingga ke pimpinan tertinggi, memainkan peranan penting dalam memastikan perjuangan parti ini tidak hanya dilihat sebagai perjuangan politik, tetapi juga sebagai perjuangan untuk kepentingan rakyat.”

Beliau juga memberi jaminan bahawa UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Program menyantuni rakyat seperti ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab UMNO dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, serta memperkukuh hubungan parti dengan rakyat.”

Jelasnya, program turun padang ini juga merupakan platform untuk mengeratkan hubungan antara UMNO dengan masyarakat akar umbi dan memberi penghargaan terhadap pengorbanan dan sokongan yang diberikan oleh mereka selama ini.

Selain itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program bantuan tersebut, termasuk petugas-petugas UMNO yang berkorban tenaga dan masa bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Bantuan yang diberikan diharap dapat meringankan beban mereka, terutama sekali dalam menghadapi cabaran kehidupan harian,” tambah beliau.

Menerusi program ini, sumbangan yang diberikan kepada Ketua-Ketua Cawangan UMNO dan bakul makanan kepada penduduk kampung sebagai antara sebahagian daripada usaha berterusan UMNO Bahagian Lahad Datu dalam meringankan beban masyarakat, terutamanya yang memerlukan, khususnya pada musim-musim tertentu yang penuh dengan cabaran.

Sharif Musa turut menyatakan bahawa program-program seperti ini akan terus dilaksanakan, dan beliau berharap lebih banyak sumbangan serta kerjasama daripada semua pihak dapat direalisasikan dalam usaha memajukan UMNO Bahagian Lahad Datu dan memperkukuhkan lagi hubungan antara parti dan masyarakat.

“Dengan semangat kesatuan dan kerjasama, kita yakin UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus teguh dalam menghadapi segala cabaran mendatang.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit