Kerajaan Komited Susun Semula Tadbir Urus Industri Halal, Sumbang 10.8 Peratus KDNK – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 3 Dis – Kerajaan komited untuk terus menyusun semula tadbir urus industri halal bagi memastikan sektor ini menyumbang 10.8 peratus kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebuah Badan Profesional Halal (Halal Professional Board) akan ditubuhkan untuk menentukan hala tuju pembangunan profesional halal di negara ini.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Bil. 2/2024 bagi menyelaraskan dan memperkasa ekosistem halal negara ke arah yang lebih kondusif, inklusif, dan berdaya saing.
“Fokus utama mesyuarat termasuklah memperkukuhkan aspek perdagangan, pensijilan, pelaburan, pembangunan modal insan dan perundangan industri halal.
“Sebuah Badan Profesional Halal (Halal Professional Board) akan ditubuhkan untuk menyelaras dan menentukan hala tuju strategik pembangunan profesional halal di negara ini. Penubuhan ini akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan sebelum dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk menubuhkan MPIH di peringkat negeri bagi memperkasa dan penyertaan pemain industri halal.
“Mesyuarat bersetuju untuk menubuhkan MPIH di peringkat negeri. Langkah ini bertujuan memperkasa dan penyertaan pemain industri dalam ekosistem halal melalui pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal dan Majlis Pembangunan Industri Halal (HIMP) 2030 di peringkat negeri.
“Untuk memperkukuhkan penglibatan ekosistem halal di peringkat Persekutuan dan negeri, MPIH mencadangkan penganjuran sesi dialog dan libat urus melibatkan pemain industri, agensi kerajaan dan pemegang taruh melalui Sesi Townhall serta HIMP 2030 Open Day pada suku pertama tahun 2025. Program ini bertujuan memperluas komunikasi dua hala, menyelesaikan isu utama, dan mengenal pasti peluang pertumbuhan domestik dan antarabangsa.
“Sehingga suku ketiga 2024, pelaksanaan Halal Industry Master Plan 2030 (HIMP 2030) telah mencapai 75 peratus, bersamaan RM110 bilion daripada sasaran RM147 bilion. Nilai eksport halal berada pada paras RM45 bilion pada tempoh yang sama dengan sasaran RM62 bilion menjelang akhir tahun ini, manakala jumlah pelaburan kumulatif di Taman Industri Halal mencecah RM16.7 bilion daripada sasaran RM18.1 bilion,” katanya lagi.
Menurutnya, MPIH akan memperkukuh kerjasama antara semua agensi kerajaan dan sektor swasta untuk membuka pasaran baharu terutamanya di peringkat antarabangsa.
“Fokus utama adalah membuka pasaran baharu, terutamanya di peringkat antarabangsa, serta mempertingkatkan infrastruktur pelaburan yang lebih bersepadu dan cekap.
“Selain itu, penekanan diberikan kepada sinergi dan penyelarasan yang lebih efektif untuk memastikan pembangunan industri halal berjalan lancar. Langkah ini penting untuk memperkukuh ekosistem halal negara dan memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yakin dengan strategi yang dirancang, Malaysia akan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal global.
“Kerajaan komited untuk terus menyusun semula tadbir urus industri halal bagi
memastikan sektor ini menyumbang 10.8 peratus kepada KDNK negara menjelang 2030. Dengan langkah-langkah strategik yang telah dirancang, saya yakin Malaysia akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal global,” katanya lagi. – UMNO Online