Dasar Pendidikan Digital Harus Rapatkan Jurang Ekonomi Bandar Dan Luar Bandar – Shamsulkahar

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli menegaskan zaman teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) kini, sistem pendidikan negara harus maju dan seiring dengan perkembangan teknologi semasa sesuai dengan dasar Pendidikan Digital.

Menurut beliau, pelaksanaan dasar ini dapat dimanfaatkan secara optimum oleh murid, pendidik, pemimpin pendidikan dan semua pihak berkepentingan bagi merapatkan jurang digital seterusnya membolehkan pendidikan digital dilaksanakan dengan jayanya.

“Jurang ekonomi bandar dan luar bandar masih lagi tinggi. Sekolah di bandar mudah untuk mendapat bantuan untuk disumbang kepada sekolah peralatan dan kemudahan pendigitalan ini, contohnya Smart TV, Smart Board dan lain-lain keperluan bagi menyokong dasar ini.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan projek penyelenggaraan tandas untuk 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta. Sekiranya tandas boleh selenggara, sudah tentu kerajaan boleh mengeluarkan peruntukan secukupnya untuk pendigitalan sekolah terutamanya di sekolah di bandar atau luar bandar yang telah tersedia capaian internet berkelajuan tinggi dan infra berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan Malaysia di Parlimen.

Persoalannya, katanya, bilakah sekolah-sekolah di seluruh negara dapat dibekalkan dengan peralatan dan kemudahan digital secara keseluruhannya.

Seterusnya kata Shamsulkahar lagi, kerajaan harus menambah baik keperluan dan kemudahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang telah bermula sejak 1988.

“Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) adalah satu program yang bermula dari tahun 1988 oleh KPM. Murid-murid ini telah dibahagikan kepada 6 kategori utama iaitu Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Pertuturan, Kurang Upaya Fizikal, Masalah Pembelajaran dan pelbagai (Multiple Disabilities).

“Buat masa kini tiada kelas khusus untuk meletakkan murid-murid ini mengikut kategori tersebut. Seperti contoh murid ‘slow learner’ bercampur dengan murid autism yang belum mampu untuk mengurus diri. Melalui dasar baharu iaitu ‘zero reject policy’ yang di gunakan, maka bilangan murid dalam satu-satu kelas ini menjadi terlalu ramai,” ujarnya.

Walau bagaimanapun tambah Shamsulkahar lagi, tiada program pendidikan khas integrasi di sekolah-sekolah kampung tradisi.

Justeru beliau mencadangkan KPM untuk memperluaskan PPKI di kawasan sekolah tradisi khususnya di Parlimen Jempol. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit