Baik Pulih Jalan Terputus Tumpat Ke Pengkalan Kubor Akan Dilakukan Secepat Mungkin

TUMPAT, 3 Dis – Kerja-Kerja membaik pulih jalan negeri menghubungkan bandar ini ke Pengkalan Kubor yang terputus akibat arus deras banjir akan dilakukan secepat mungkin dan menelan kos sebanyak RM2.5 juta.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua peruntukan untuk memperbaiki jalan terjejas termasuk di Taman Sri Bayu itu adalah anggaran awal yang mungkin berubah.

“Daripada peruntukan RM22.5 juta di seluruh Kelantan, di situ sahaja RM2.5 juta dan saya harap ia boleh dilaksanakan seawal mungkin kerana jika tidak, memang kawasan itu terputus (hubungan).

“Sungai di tempat berlakunya kerosakan jalan ialah sungai buatan manakala di sebelahnya sungai asal,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 150 kotak sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Kubang Batang di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan akan terus membantu mangsa banjir termasuk menerusi peruntukan RM50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Kelantan dan Terengganu serta bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah yang berpindah yang diumum oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita harap pihak keluarga yang terlibat bersabar dengan apa yang berlaku ini. Semuanya ada hikmah di sebaliknya dan agensi kerajaan akan terus membantu,” katanya.

Pada 29 November lepas, jalan negeri dekat Taman Sri Bayu di sini yang menghubungkan Tumpat dengan Pengkalan Kubor terputus akibat banjir pada kira-kira jam 5 petang. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit