Akmal Luah Kebimbangan Calon SPM Tidur Di Lantai, Keselesaan Perlu Jadi Keutamaan

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berharap Kementerian Pendidikan dapat meneliti kembali penempatan sementara yang disediakan kepada para pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berhadapan musibah banjir.

Menurut beliau ini kerana adanya aduan yang memaklumkan pelajar diberikan penempatan yang tidak sewajarnya termasuk terpaksa tidur di lantai surau beralaskan tikar akibat asrama penuh.

“Hari itu Menteri Pendidikan menyatakan bahawa SPM akan diteruskan dan semua calon-calon ini akan ditempatkan di asrama diberi makanan dan tempat yang selesa.

“Saya rasa adil pindahkan adik-adik ini kerana dapat duduk tempat selesa, ulang kaji dan boleh jawab SPM tetapi dapat maklumat daripada mereka yang berada di Tumpat anak-anak kita ini terpaksa duduk di dalam surau akibat asrama penuh.

“Kalau benda ini betul YB Menteri tidak adil untuk mereka sedangkan mereka ini nak kena jawab soalan, takkan nak tempatkan anak-anak kita di surau yang begini rupa, beralaskan tikar saja,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Dr Akmal berkata sudah tentunya ia tidak memberi keadilan kerana ia tidak seperti yang dijanjikan untuk keselesaan kepada para pelajar mahu mengulang kaji pelajaran mereka.

Rentetan daripada itu beliau turut sama memohon agar SPM ditangguhkan sehingga banjir reda bagi mengelakkan kesulitan kepada pelajar.

“Saya yakin dan pasti mereka sangat-sangat tidak selesa. Jadi YB Menteri saya mohon tengok semula tentang perkara ini… kalau tak mampu nak sediakan mereka keselesaan, maka tangguhlah dulu peperiksaan SPM ini sehingga semua dah selesai buatlah balik.

“Kerana saya melihat daripada ketidakadilan kepada calon-calon SPM yang begini. Anak-anak kita tak dapat tempat yang selesa untuk mereka buat ulang kaji dan belajar.

“Ini sangat-sangat tidak adil untuk mereka jadi tolonglah YB Menteri tengokkanlah cadangan ini kalau tak mampu nak bagi tempat yang paling selesa untuk mereka ini, tangguhlah dulu,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada sesi Dewan Rakyat semalam turut sama meluahkan kebimbangan sama membabitkan persediaan pelajar SPM yang terjejas akibat banjir.

Menurut beliau ia sedikit sebanyak mengganggu persediaan mereka kerana kerosakkan buku rujukan dan alatan tulis yang musnah malah paling merisaukan ketidakhadiran mereka ketika peperiksaan.

Sebelum ini media melaporkan, calon yang terjejas akibat banjir di tiga buah negeri tetap bersedia untuk menduduki ujian lisan Bahasa Melayu peperiksaan SPM meskipun berdepan kesukaran dan ketidakstabilan emosi ketika menetap di pusat pemindahan sementara (PPS).

Terdahulu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan calon SPM yang sekolah mereka terjejas akibat banjir boleh menduduki mana-mana pusat peperiksaan yang ditetapkan.

Beliau berkata, peperiksaan tetap berjalan seperti biasa termasuk di negeri terjejas bencana itu bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan calon SPM. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit