‘Tidak Sensitif Masalah Dihadapi Rakyat Dilanda Banjir’ – Engku Juliani

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ketua Puteri UMNO Kelantan, Engku Juliani Engku Mokhtar menyifatkan cadangan mahu menjadikan banjir sebagai produk pelancongan di Kelantan adalah tindakan kurang cerdik.

Beliau malah berkata ia juga sebagai tindakan tidak sensitif dengan masalah yang dihadapi rakyat Kelantan ketika ini.

“Perlu diambil kira bahawa banjir adalah bencana yang membawa kesan negatif kepada kehidupan rakyat, termasuk kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan turut menjejaskan kesihatan.

“Sepatutnya kerajaan negeri lebih peka dan memfokuskan usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mangsa-mangsa yang terkesan semasa dan pasca bencana banjir.

“Bukan mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan dengan mempromosikan kegiatan pelancongan sewaktu musim banjir,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Kelantan sedang merancang usaha bagi mempromosi sukan luncur ombak atau ‘surfing’ pertengahan bulan ini sebagai satu produk pelancongan negeri di ‘musim tengkujuh’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor berkata walaupun kelihatan agak janggal, namun ia tidak mustahil dilaksanakan memandangkan Kelantan memiliki beberapa tempat yang sesuai untuk sukan berkenaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit