MUBARAK Perlu Diperkasa Untuk Memudahkan, Lancarkan Aktiviti Kebajikan – Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) perlu diperkasakan untuk memudahkan dan melancarkan segala aktiviti kebajikan yang akan dilaksanakan di seluruh negara.

Presiden MUBARAK, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, keahlian MUBARAK adalah bersifat terbuka dan tidak mengira latar belakang parti politik yang diwakili.

“MUBARAK Malaysia yang ditubuhkan pada 30 Oktober 1998 ini telah dipimpin Allahyarham Tan Sri Datuk Wira Abdul Razak Alias (1998-2006) dan Presiden kedua Tan Sri Datuk Seri Abu Zahar Nika Ujang (2007-2010).

“Keahlian MUBARAK sekarang adalah bersifat terbuka kepada semua bekas wakil rakyat tanpa mengira sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Oleh itu, MUBARAK sentiasa mengalu-alukan kepada mana-mana bekas wakil rakyat dari parti politik Pas mahupun Dap dan lain-lain yang berkenaan untuk menyertai Mubarak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Makan Malam Amal Yayasan MUBARAK Malaysia yang diadakan di Premiera Hotel, pada Sabtu.

Menurutnya, keahlian MUBARAK termasuk ahli bersekutu di setiap negeri perlu ditambah untuk memperkukuhkan lagi usaha persatuan tersebut menyalurkan bantuan kebajikan.

“Untuk terus memperkasakan MUBARAK, negeri-negeri harus berusaha menambah bilangan ahli-ahli MUBARAK dan meramaikan juga bilangan ahli bersekutu. Hal ini demikian kerana, ianya dapat memudahkan aktiviti kebajikan dan aktiviti akan datang dapat dijalankan dengan lancar ke pelusuk negeri.

“Untuk makluman, MUBARAK telah mengadakan beberapa kunjungan hormat iaitu kepada Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Johari Abdul.

“Terdapat beberapa perkara yang dibincangkan termasuklah mengenai isu pencen bekas-bekas wakil rakyat, penubuhan Kursi Kepimpinan MUBARAK, program anak muda seperti Parlimen Mahasiswa dan memperkasakan Rukun Negara serta perbandingan Pancasila,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di majlis tersebut menyeru agar MUBARAK terus memperkukuhkan keahlian demi mendepani cabaran politik yang semakin dinamik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, usaha MUBARAK dan yayasannya untuk menoktahkan kemiskinan, mengurangkan jurang sosial dan membangunkan modal insan adalah selari dengan agenda Kerajaan Perpaduan.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan bekas-bekas wakil rakyat termasuklah dari Veteran UMNO. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit