Manndzri Mohon MinDef Beri Tumpuan RKAT, Kebajikan Dan Keselamatan Anggota Tentera

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berharap kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan dapat memberi tumpuan terhadap Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Menurut beliau ini kerana ia bagi menaiktaraf sekaligus memberikan keselesaan kepada anggota tentera dan keluarga.

“RKAT wajib menjadi tumpuan Kementerian Pertahanan bagi menjaga kebajikan dan keselamatan anggota termasuk juga keluarga-keluarga anggota tentera ini.

“Bagi rumah RKAT sebelum ini kementerian telah sasarkan 8,000 unit siap dibina menjelang 2025 namun setakat Disember 2023 yang saya semak hanya 4,700 unit RKAT telah disiapkan secara berperingkat,” katanya.

Manndzri berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa sebelum ini pernah membangkitkan dalam perbahasan berkenaan isu kekurangan RKAT di Parlimen Tenggara yang mengakibatkan ramai anggota terpaksa menyewa di kawasan sekitar.

“Jadi Tenggara berharap agar permohonan yang dikemukakan sebelum ini boleh dipercepatkan dipertimbangkan untuk pembinaan,” ujar beliau.

Dalam pada itu juga Manndzri turut sama sama menyentuh sama berkenaan perangan siber sambil menyifatkan ia sebagai masalah serius yang akan terus berkembang membabitkan serangan terhadap ekonomi, pertahanan dan keselamatan.

Menurut beliau lagi perang siber merupakan isu rentas sempadan yang mampu mewujudkan pelbagai risiko khususnya babitkan keselamatan negara termasuk percubaan mengganggu ketenteraman, mengintip tindakan atau strategi semasa sistem pertahanan negara perlu ditangani dengan pantas serta proaktif.

“Untuk itu Tenggara menyarankan kerajaan rangka strategi dan persediaan lebih menyeluruh, selain memperkukuh seluruh jentera keselamatan siber untuk menghadapi cabaran berbangkit.

“Melalui  ini juga Tenggara mencadangkan agar ditubuhkan rejimen digital sebagai bukti kerajaan serius dan bersungguh-sungguh perangi ancaman digital yang mampu beri kerugian besar pada negara.

“Dengan penubuhan regimen digital yang dilengkapi pelbagai teknologi baharu pasti membolehkan pasukan pertahanan negara bertindak balas dengan lebih efektif terhadap sebarang ancaman yang timbul dalam ruang siber.

“Kita boleh libatkan para belia serta gamers yang berminat sertai regimen ini kerana mereka miliki kemahiran tinggi kendali gajet dalam masa yang sama menyumbang jaga kedaulatan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit