KDN Pertimbang Kod QR Percepatkan Proses Imigresen Untuk Pengembara

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan kementerian ketika ini mempertimbangkan sistem baru yang lebih efisien bagi melancarkan pemeriksaan imigresen kepada pengembara.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi memaklumkan ia dengan memperkenalkan penggunaan Penggunaan Kod Respons Pantas (QR) bagi penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sistem ini dijangka dapat mempercepatkan proses pemeriksaan di kaunter imigresen di mana pengembara hanya perlu mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi serta butiran perjalanan mereka.

“Penggunaan teknologi ini dijangka akan membantu meningkatkan keselamatan, mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk negara terutama pada waktu puncak.

“Penggunaan kod QR akan diperluaskan di pintu-pintu masuk utama negara yang bersesuaian, termasuk lapangan terbang antarabangsa yang lain dan pusat pemeriksaan di sempadan darat serta laut,” katanya.

Shamsul berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji (PH-Jelutong) yang minta menyatakan langkah-langkah sedang diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik perkhidmatan pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk ke tanah air termasuk lapangan terbang dan pelabuhan untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.

Beliau dalam pada itu berkata dengan adanya sistem yang lebih bersepadu ini ia bukan saja akan meningkatkan kecekapan dalam perusahaan imigresen tapi juga akan mengurangkan risiko rasuah penyalahgunaan kuasa di kawasan antarabangsa.

“Selain itu, KDN sedang dalam perancangan membangunkan projek membina lorong pemeriksaan motosikal tambahan di Kompleks Sultan Abu Bakar sebanyak 33 lorong dan bangunan Sultan Iskandar sebanyak 44 lorong,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit