Banjir: Tengku Haphiz Seru Para Pemimpin Jaga Sensitiviti, Giat Beri Bantuan
KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menyeru para pemimpin politik termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjaga sensitiviti mangsa-mangsa banjir dan lebih giat memberikan bantuan.
Ini kerana katanya, kenyataan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Kamarudin Md Noor yang mahu menjadikan banjir sebagai produk pelancongan tidak sepatutnya berlaku pada waktu genting seperti ini.
“Saya menonton satu klip video daripada seorang pemimpin negeri Kelantan yang menyatakan bahawa banjir ini boleh dijadikan sebagai produk pelancongan negeri. Ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh dikeluarkan pada waktu-waktu kritikal sebegini.
“Saya kira yang paling penting dan utama… kerajaan ataupun mana-mana pemimpin mesti fokus untuk bantu mangsa banjir dan tingkatkan bantuan seberapa mana yang boleh,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di halaman TikToknya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu turut mendoakan agar urusan semua mangsa banjir dipermudahkan.
“Jadi, saya harap semua pemimpin tidak kisahlah parti politik ataupun NGO, kita jangan keluarkan kenyataan-kenyataan yang merapu seperti ini. Fokus kepada bantuan dan tingkatkan usaha untuk memastikan mangsa-mangsa banjir ini selamat untuk meneruskan kehidupan selepas daripada musibah ini
“Jadi, sama-sama kita doakan agar semua pihak terutamanya mangsa-mangsa banjir ini selamat dan dipermudahkan urusan mereka,” katanya.
Pada Khamis media melaporkan Kelantan sedang merancang usaha bagi mempromosi sukan luncur ombak atau ‘surfing’ pertengahan bulan depan sebagai satu produk pelancongan negeri di ‘musim tengkujuh’.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor berkata walaupun kelihatan agak janggal, namun ia tidak mustahil dilaksanakan memandangkan Kelantan memiliki beberapa tempat yang sesuai untuk sukan berkenaan.
Beliau berkata, pada musim tengkujuh kawasan seperti Pantai Kemasin dan Melawi mempunyai ombak besar dan amat sesuai dengan sukan luncur ombak.
Menurutnya, usaha itu dilakukan ekoran musim tengkujuh menjadikan persekitaran Kelantan agak sepi, dengan jumlah kehadiran pelancong tidak ramai. – UMNO Online