Terima Hakikat Realiti Politik Baharu Untuk Masa Hadapan
SHAH ALAM, 1 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa hari ini anggota parti perlu menerima hakikat berkaitan realiti politik baharu bagi menghadapi masa hadapan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berkata, kebersamaan parti-parti politik yang berlainan ideologi dalam Kerajaan Perpaduan perlu terus disokong dan dipelihara demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.
“Kitalah yang bertanggungjawab untuk sama-sama memelihara kekukuhan Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Kita ada dalam kerajaan hari ini bukan untuk bersaing sesama parti atau menunjuk kepada akar umbi tapi untuk mewujudkan kombinasi agar Kerajaan Perpaduan kukuh dan akar umbi terus mendukung kerajaan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa merasmikan Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.
Ujarnya, suatu ketika dulu parti-parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan saling bermusuhan namun realitinya bertukar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu lantaran memikirkan masa hadapan yang lebih utama.
“Dulu betapa bencinya Dap kepada UMNO maka begitu juga UMNO kepada Dap, hal yang sama apabila melibatkan PKR, Parti Amanah dan lain-lain parti yang sememangnya tidak sehaluan dengan kita.
“Tapi kini kita harus istiqamah dalam persahabatan politik ini. Masalah memang ada tapi masalah-masalah titik begik jangan dijadikan sebagai alasan. Ada perkara boleh bincang tanpa libatkan masyarakat umum, berbincang dan bermesyuarat tanpa perlu disebut dalam ucapan atau dihadapan khalayak.”
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut menyorot perkembangan BN Selangor yang suatu ketika berada di puncak kuasa apabila menang 54 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Tapi hari ini semuanya berubah dan kerusi BN di Selangor tinggal cuma dua. Persoalannya kenapa pengaruh BN semakin merosot… adakah kerana pihak lawan kuat tapi sebenarnya mereka tak kuat sebaliknya kita yang lemah.
“Kalau kita bina keyakinan semula termasuk di akar umbi, maka tak mustahil untuk kita akan dapat lebih dominan bersama Kerajaan Peraduan di Selangor,” katanya.
Selari dengan itu, Ahmad Zahid mengingatkan anggota parti untuk tidak menggunakan apa-apa kelemahan yang ada di kalangan anggota parti sebagai alasan kenapa BN ditolak.
“Jangan gunakan kelemahan sebagai alasan kerana ahli-ahli parti kita sendiri belum cukup untuk memenangkan kita sebaliknya gunakanlah rakan-rakan di luar parti termasuk dalam PH dan anggota Kerajaan Perpaduan agar boleh mendorong kepada kekuatan kita.
“Kita perlu menyantuni semua pihak walau sekecil mana sekalipun mereka. Kita perlu tutup buka lama dan buka buka baharu untuk dukungan dan keberadaan semua pihak,” katanya lagi.
Turut hadir bersama dalam konvensyen ini ialah Pengerusi BN Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin bersama Setiausaha BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi di samping kepimpinan BN termasuk MCA dan MIC serta para pendukung BN.
Tidak ketinggalan bersama-sama dalam Konvensyen BN Selangor ini ialah rakan-rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan termasuklah Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. – UMNO Online