UMNO/BN Hargai Kesetiaan KIMMA Depani Dinamika Politik – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sebagai badan gabungan UMNO/Barisan Nasional (BN) yang masih kekal setia dalam perjuangan.

Beliau berkata ini dibuktikan dengan kesungguhan yang diberikan KIMMA dalam menyumbang tenaga kerja ketika BN berhadapan pilihan raya sama ada umum atau Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk terbaharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota sehingga mencapai kemenangan besar.

“Barisan kepimpinan dan pejuang-pejuang KIMMA bukan sahaja setakat setia tetapi telah membuktikan setiap kali pilihan raya dan yang terbaharu KIMMA memainkan peranan penting juga dalam membantu kemenangan besar BN di Nenggiri dan Mahkota.

“Saya sering menyaksikan bukan sahaja presiden dan barisan kepimpinan tertinggi ada di Mahkota tetapi ramai pejuang-pejuang dan juga ahli-ahli KIMMA juga berperanan besar… inilah semangat UMNO/BN.

“Jangan risau takkanlah UMNO melupakan satu-satunya badan gabungan yang terus setia dengan UMNO daripada dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Perhimpunan Agung KIMMA 2024 ke-45 di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan kepimpinan lain.

Dr Asyraf dalam pada itu turut sama menyentuh dinamika politik hari ini yang menyaksikan kerjasama terjalin dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau ia sebagai peluang kepada UMNO/BN dalam memanfaatkan kerjasama ini untuk bermuhasabah di samping meneruskan khidmat bakti kepada rakyat sebagaimana diamanahkan kepada parti ketika ini.

“Hari ini tuhan beri peluang untuk kita bangkit semula dengan berada dalam Kerajaan Perpaduan, bukan kehendak tetapi ini ada hikmahnya kerana ia adalah sesuatu yang tak pernah gambar untuk duduk dengan musuh-musuh yang paling kita benci dulu.

“Tiba-tiba berlaku pilihan raya lepas kita tak cukup kerusi, mereka pun tak cukup kerusi tetapi akhirnya itu mungkin juga hikmah kepimpinan UMNO terdahulu, bila meletakkan institusi raja-raja Melayu di dalam Perlembagaan.

“Inilah ruang untuk kita bangkit semula jangan angkuh yang lepas biarkan berlalu sebagai pengajaran apabila berada di kemuncak 62 tahun tak ada siapa yang boleh menafikan jasa-jasa besar UMNO dan barisan kepimpinan terdahulu,” ujar beliau.

Sementara itu, Syed Ibrahim dalam ucapannya juga berkata KIMMA tetap bersetia meskipun dihujani dengan pelbagai tawaran.

Menurut beliau ini kerana apa jua keputusan yang dibuat adalah dengan meletakkan kepentingan masyarakat India Muslim di hadapan.

“Kita tetap kekal istiqamah dalam perjuangan ini. UMNO dan BN tetap di hati kami. Sebab ini adalah parti mewakili satu masyarakat dan kita tentu sekali tidak akan menggadaikan maruah kita dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Saya faham jika di BN perlu jaga hati banyak pihak tetapi sebagai ahli gabungan UMNO boleh buat keputusan yang inklusif dan realistik untuk kami di KIMMA.

“Mereka mahukan satu bentuk pengiktirafan untuk segala usaha dan kesetiaan KIMMA bersama UMNO di waktu senang dan sukar,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit