BN Bincang Persiapan Hadapi PRN Sabah Ke-17, Pantau Perkembangan Politik
KUALA LUMPUR, 29 Nov – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa BN telah membincangkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media susulan beberapa ketetapan yang telah dicapai dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Selasa lalu.
Ujarnya, PRN terbabit boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum Oktober 2025.
“Barisan Nasional akan sentiasa memantau perkembangan semasa politik Sabah dalam memastikan gerak kerja dan perancangan menghadapi PRN berkenaan akan dapat mengukuhkan kedudukan parti di negeri berkenaan,” katanya.
Dilaporkan sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan bahawa kerjasama BN akan dilaksana dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Sabah akan datang.
Jelasnya, BN yang terdiri daripada gabungan UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga turut memberi jaminan bahawa tiada sebarang pertindihan kerusi melibatkan kedua-dua gabungan itu, dengan penggunaan logo mengikut parti masing-masing.
DUN Sabah kini terdiri daripada 73 kerusi dan dalam PRN ke-16 yang diadakan pada 26 September 2020, BN berjaya memenangi 14 kerusi. – UMNO Online