Kerajaan Prihatin Situasi Banjir, Ambil Pelbagai Langkah Urus Bencana – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, hari ini menegaskan bahawa kerajaan Malaysia sentiasa prihatin terhadap situasi banjir yang melanda beberapa negeri di negara ini.

Ujarnya, sehingga tengah hari tadi, laporan rasmi menunjukkan bahawa tujuh negeri terjejas akibat banjir, termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Perlis, dan Pulau Pinang.

“Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan pengurusan bencana ini berjalan lancar dan efektif. Setakat ini, sebanyak 8,481 PPS telah disiapkan di seluruh negara dan boleh menampung sehingga 2.1 juta mangsa, sekiranya diperlukan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu beliau yang juga Presiden UMNO telah mempengerusikan Mesyuarat Kecemasan Penyelarasan Bencana Banjir di ibu pejabat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelas Ahmad Zahid, menurut laporan terkini, lebih daripada 41,000 mangsa banjir telah dipindahkan ke 325 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.

“Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, dengan 30,533 orang daripada 9,222 keluarga yang kini berlindung di 156 PPS. Di Terengganu, daerah Besut dan Hulu Terengganu menjadi kawasan yang paling teruk terjejas, dengan lebih 20,000 mangsa ditempatkan di PPS.”

Ujarnya, kerajaan juga telah menggerakkan lebih daripada 82,000 anggota penyelamat, termasuk anggota bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), untuk melaksanakan operasi menyelamat.

Kerajaan juga melibatkan pelbagai pihak, termasuk NGO, sukarelawan dan komuniti setempat seperti Persatuan Pacuan 4×4, Persatuan Radio Amatur dan Persatuan Belia, untuk menyokong usaha penyelamatan dan pemindahan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh operasi di lapangan tetapi juga memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih pantas dan efektif kepada mangsa.

“Dalam menghadapi cabaran fenomena air pasang besar, Kerajaan telah mengambil langkah kesiapsiagaan awal dengan melaksanakan sistem amaran bencana. Kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, dan agensi penyelamat seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Bomba terus diperkukuh bagi memastikan kelancaran operasi.”

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.

“Saya ingin menasihati rakyat agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga. Jika berada dalam keadaan kecemasan, hubungilah pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan bantuan segera.

“Dalam era maklumat kini, saya menyeru semua pihak untuk mendapatkan maklumat terkini hanya melalui portal rasmi seperti portalbencana.nadma.gov.my dan mengelak menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan serta panik dalam kalangan masyarakat.

Ahmad Zahid juga mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama berdoa agar keadaan segera pulih dan semua mangsa banjir diberi kekuatan untuk mengharungi ujian ini.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar situasi ini segera pulih dan semua mangsa banjir diberi kekuatan untuk mengharungi ujian ini. Dengan semangat kerjasama dan sokongan daripada semua pihak, saya yakin kita mampu mengatasi cabaran ini bersama-sama. Insya-Allah.” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit