Peranan UMNO Dalam Kerajaan Perpaduan Bantu Kejayaan Negara

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah signifikan terutama dalam mencorakkan dasar ekonomi dan menjamin kestabilan politik negara.

Exco Pemuda UMNO Bahagian Damansara, Ahmad Tarmizi Che Age berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran namun kerjasama UMNO dengan parti lain dapat membantu kerajaan melaksanakan agenda pembangunan yang lebih menyeluruh dan inklusif bagi rakyat Malaysia.

“Sepanjang tempoh dua tahun ini, UMNO berjaga-jaga terhadap sebarang tindakan yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan, walaupun menghadapi tekanan daripada pembangkang dan juga cabaran dalaman.

“UMNO lebih dilihat berjaya memainkan peranan yang penting sebagai ‘check and balance’. Ia menjadi jambatan yang kuat untuk menyatukan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan walaupun dengan ideologi berbeza demi usaha mewujudkan kerajaan lebih stabil.

“Kejayaan jangka panjang kerajaan ini bergantung kepada UMNO untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan dinamika politik dan sosial di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, dalam perbentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini, UMNO menjadi sebahagian besar daripada Kerajaan Perpaduan memberikan sokongan kepada langkah-langkah strategik untuk meningkatkan ekonomi negara berdasarkan ‘Kerangka Ekonomi Madani’.

 

“Bajet ini merupakan yang terbesar dalam sejarah dengan peruntukan RM421 billion, memberi fokus kepada sektor pembangunan desa dan pertanian termasuk peruntukan untuk Orang Asli.

“Ia juga memacu pelaburan dan peluang pekerjaan di bawah program kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Subsidi bersasar dan penambahbaikan sistem pencukaian dengan memperluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan projek-projek infrastruktur dan sosial di Sabah dan Sarawak.

“Kadar pengangguran di Malaysia mencatat penurunan yang ketara, mencapai 3.2 peratus pada bulan September dan menunjukkan kadar terendah sejak Januari 2020,” jelasnya.

Ujarnya, ini mencerminkan peningkatan yang tinggi dalam peluang pekerjaan dan penurunan membuktikan keberkesanan dasar Kerajaan Perpaduan dalam merangsang ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui pelbagai inisiatif.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyertai Kerajaan Perpaduan di bawah titah Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah amat bertepatan.

“Pada awalnya menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat khususnya dalam kalangan ahli dan penyokong parti, namun langkah-langkah yang diambil oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan tertinggi UMNO amat bertepatan.

“Namun kini terbukti dalam Kerajaan Perpaduan ia dapat meredakan kemarahan dan ketidakpuasan di kalangan ahli dengan memulakan usaha untuk memperbaharui imej parti,” jelasnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.