Inisiatif UMNO Tanpa Henti, Tengku Adnan Ajak Manfaatkan Menabung Untuk Pendidikan Anak-anak
PUTRAJAYA, 27 Nov – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak ibu bapa untuk memanfaatkan ruang dan peluang dengan menabung demi masa depan pendidikan anak-anak mereka.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berharap inisiatif ini dapat menjadi pendorong kepada pelajar dan ibu bapa untuk memulakan tabungan bagi pendidikan tinggi untuk kejayaan masa hadapan.
“Usaha kerajaan dan UMNO untuk membantu golongan pelajar tidak terhenti. UMNO sebagai parti yang bertanggungjawab komited untuk terus berusaha dan menyediakan pelbagai inisiatif yang memudahkan pelajar dari semua peringkat, termasuk yang masih di bangku sekolah, untuk menerima pendidikan berkualiti,” katanya kepada UMNO Online.
Sebelum itu, semalam beliau telah bekerjasama dalam Penyerahan Zakat UDA Cares PTPTN (Wilayah Persekutuan Putrajaya) bersama Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, di sini.
Dalam majlis tersebut, UDA Holdings Berhad, menyumbangkan wakalah zakat berjumlah RM20,000 melalui PTPTN
Melalui program ini sebanyak 200 pelajar asnaf menerima sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 setiap seorang, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pelajar-pelajar berpotensi mendapat peluang pendidikan yang lebih baik.
Tengku Adnan menekankan bahawa usaha murni ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada masyarakat, tetapi juga membantu meringankan beban kewangan golongan memerlukan.
Di samping itu katanya, amalan menabung melalui Simpan SSPN harus diterapkan dalam kalangan rakyat sebagai budaya yang positif.
“UMNO turut memberi perhatian khusus kepada pembangunan modal insan melalui program pendidikan, memastikan tiada anak bangsa yang tertinggal dalam usaha memperkasakan negara melalui pendidikan.”
Dalam hal ini beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar langkah tersebut dilaksana secara berterusan dan melibatkan semua peringkat.
“Dengan adanya sokongan semua pihak, dari kerajaan dan agensi terlibat termasuklah UMNO sendiri maka diharap lebih ramai anak-anak Malaysia dapat menikmati peluang pendidikan yang lebih cerah dan berjaya pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online