Ahmad Zahid Harap Semua Pihak Ganding Bahu Jayakan Pelan Strategik Perangi Masalah BBM

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar semua pihak berganding bahu untuk menjayakan Pelan Strategik Perangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan (BBM) dalam kalangan kanak-kanak.

Ini kerana katanya, masalah tersebut perlu ditangani segera kerana ia memberi implikasi negatif kepada kanak-kanak seperti obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Masalah BBM yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia merupakan masalah kesihatan awam yang perlu ditangani dengan segera. Ini penting memandangkan ianya memberikan implikasi negatif kepada perkembangan psikomotor, psikologi, Intelligence Quotient, Emotional Quotient dan Social Quotient kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang mengalami berlebihan berat badan atau obesiti di peringkat awal usia juga adalah lebih berisiko untuk mendapat obesiti dan menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes serta tekanan darah tinggi apabila mereka dewasa kelak.

“Justeru pada petang ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah BBM dalam Kalangan Kanak-kanak (JKK BBMKK) Bil. 2/2024 untuk membincangkan status pelaksanaan tiga inisiatif yang terdapat di dalam Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah BBM dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023–2030,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kerajaan akan memantapkan inisiatif 1,000 Hari Pertama Kehidupan dalam kalangan ibu hamil sehingga anak berusia dua tahun.

“Untuk inisiatif ini, majlis peluncuran dan sesi dialog bersama 272 orang pengamal perubatan rangkaian swasta bagi klinik, hospital, makmal, farmasi, komuniti, persatuan dan Non-Governmental Organizattion (NGO) telah dilaksanakan pada 6 Ogos 2024.

“Selain itu, kerajaan melaksanakan Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. HiTS menyediakan 1 menu berkhasiat untuk murid sekolah menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia. Sebanyak 277 sekolah telah terlibat di seluruh negara. Kesan pelaksanaan HiTS telah menunjukkan pengurangan berat badan dan perkembangan kognitif murid.

“Akhir sekali, kerajaan akan melaksana dan memperluaskan duti eksais kepada minuman bergula tinggi. Berdasarkan status terkini cukai minuman bergula di Malaysia (1 Julai 2019) telah meningkat sebanyak RM0.40/liter, sekaligus meningkatkan harga di pasaran sebanyak 2.24 peratus, mengakibatkan pengurangan pengambilan minuman manis bergula dalam kalangan remaja,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan bahawa mesyuarat pada kali ini turut membincangkan mengenai satu kertas pertimbangan Cakna Status Pertumbuhan Kanakkanak: Komitmen Merentasi Agensi bagi memerangi masalah beban berganda malpemakanan.

“Selain itu, dua kertas makluman juga telah dibentangkan iaitu Keberkesanan Pelaksanaan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) turut diteliti untuk memastikan keberkesanan program ini berada pada tahap yang terbaik. Pada waktu yang sama Promosi Program Pemakanan di Sekolah turut diberi penekanan dalam mesyuarat ini.

“Sehubungan itu, saya amat berharap agar semua pihak merentasi kementerian dan agensi bersama-sama memastikan agar Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah BBM dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023 – 2030 dapat dilaksanakan secara bersepadu, efektif, seterusnya mencapai objektif untuk memerangi masalah BBM dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

“Saya berkeyakinan, kerjasama dan komitmen di antara pelbagai kementerian dan agensi adalah sangat penting bagi memastikan usaha-usaha yang dijalankan memberi impak dalam memerangi masalah beban berganda malpemakanan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan; Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan; Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Timbalan-Timbalan Menteri; dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit