Tengku Azman Gesa Pelihara Identiti, Cukup-cukuplah Cemarkan Bahasa Kebangsaan
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin meluahkan rasa kekecewaan dan kebimbangannya terhadap penggunaan tulisan bahasa asing yang meluas di kebanyakan kompleks beli-belah yang menurutnya memberi kesan kepada identiti kebangsaan.
Katanya, pencemaran bahasa pada papan iklan adalah fenomena yang menimbulkan ancaman besar terhadap integriti linguistik dan warisan budaya.
“Kita tidak mahu melihat papan iklan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur ini dirojakkan dengan pelbagai bahasa yang boleh membuat kebanyakan pelancong terkeliru sama ada mereka berada di Bandaraya Kuala Lumpur atau di Hong Kong.”
“Sudah sampai masanya pihak DBKL menguatkuasakan penggunaan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa utama dalam iklan, dan ianya boleh dicontohi oleh majlis perbandaran lain sebagai usaha mencerminkan imej Malaysia,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam hal ini Tengku Azman sangat bersetuju jika pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengizinkan peniaga untuk mengekalkan estetika perniagaan mereka, tetapi menggunakan Bahasa Malaysia kerana ia mencerminkan Bangsa Kebangsaan yang sebenar.
“Bahasa terjemahan juga dibenarkan sebagai bahasa kedua mengikut garis panduan yang ditetapkan. Tidak ada masalah pun untuk pelancong atau pelawat asing.”
Terdahulu, isu berkaitan bahasa timbul setelah DBKL mewajibkan pemilik perniagaan mempamerkan papan tanda berbahasa Melayu mengikut peraturan papan tanda komersial.
Ekoran itu ada pihak menganggap sesuatu yang tergesa-gesa.
Namun begitu, Tengku Azman menegaskan bahawa bahasa kebangsaan perlu diangkat dan diperkasakan.
“Bagi UMNO Bukit Bintang berpandangan bahawa sebagai sebuah negara berbilang kaum, kepelbagaian budaya dan bahasa seharusnya mengutamakan bahasa Kebangsaan dan bukannya merojak atau membanggakan bahasa selain daripada bahasa Kebangsaan, yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. – UMNO Online