Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026 Perlu Aktif Promosi Sosio-Budaya Warisan Negara

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berpandangan sekretariat pelancongan perlu memperbanyakkan bahan promosi melibatkan sosio-budaya warisan negara menjelangnya Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Menurut beliau ia penting dalam menarik kehadiran pelancong ke negara ini sementelah industri pelancongan sebagai penyumbang nilai pendapatan kepada negara.

“Melihat kepada aspirasi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kedatangan pelancong luar negara sebanyak 35.6 juta sempena kempen TMM 2026 dengan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion diraih sepanjang tempoh TMM 2026.

“Adalah sangat penting untuk sekretariat TMM 2026 ini memainkan peranan dalam mempromosikan sosio-budaya warisan negara yang tinggi nilai kepahlawanan dan kaya dalam budi pekerti.

“Semua bangsa diraih dalam mewarnai hakikat Malaysia sebenar, untuk kita terjemahkan kepada dunia inilah Malaysia sebuah negara Idaman bagi mereka yang cinta kedamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini.

Siti Aminah dalam pada itu berkata pengisian dalam TMM 2026 perlu diterjemahkan dalam makna Malaysia sebenar tanpa perlu mengimport budaya luar yang sememangnya jauh dengan nilai dan adat ketimuran bangsa.

Sementara itu beliau juga turut sama memohon kepada kementerian agar dapat memberikan peruntukkan kepada Bangunan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Bisaya yang terdapat di Parlimen Beaufort.

“Melihat kepada Skop projek PPUN (melalui peruntukkan pemulihan / pemuliharaan / ubah suai / naik taraf), pembinaan jalan utama menuju ke bangunan kebudayaan dan tapak parking adalah bersesuaian dengan keperluan semasa untuk mengembangkan lagi sektor pelancongan melalui kebudayaan, kesenian dan kraft tangan yang boleh menjadi nilai tambah kepada ekonomi penduduk setempat,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit