Kempen Melawat Malaysia 2026: Ahmad Zahid Seru Kementerian, Agensi Kukuhkan Kerjasama Bersama MOTAC

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua kementerian dan agensi berkaitan untuk mengukuhkan kerjasama khususnya dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) Bilangan 3 Tahun 2024 membincangkan beberapa isu penting.

“Hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) Bilangan 3 Tahun 2024 di Kompleks Parlimen, Kuala Lumpur. Melalui mesyuarat ini, saya telah menegaskan kepentingan industri pelancongan sebagai pemacu utama pembangunan negara.

“Saya menyeru semua Kementerian dan Agensi yang berkaitan untuk mengukuhkan kerjasama khususnya dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai peneraju industri pelancongan bagi menjadikan sektor ini sebagai agenda nasional yang strategik.

“Mesyuarat ini turut membincangkan beberapa isu penting, termasuk pengoperasian bas persiaran, penyelarasan perancangan penginapan sewaan jangka pendek (Short-Term Rental Accommodation – STRA), perancangan taman kenderaan rekreasi dan menyentuh tentang pembangunan program inap desa sebagai persiapan menyeluruh untukmenjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Menurutnya, MOTAC bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengadakan perbincangan berkaitan isu pengoperasian bas persiaran termasuklah langkah-langkah yang diambil sekiranya berlaku kemalangan jalan raya melibatkan warganegara asing.

“Perbincangan ini turut merangkumi penyelarasan pelan komunikasi dan penetapan prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan situasi tersebut dapat ditangani dengan cekap serta berkesan.

“Kerajaan telah menetapkan bahawa MOT, melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengawal selia pelesenan kenderaan pelancongan berdasarkan empat kriteria utama.

“Antaranya, kenderaan mestilah memiliki lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) yang sah, dipasang dengan sistem global positioning system (GPS), mematuhi had usia kenderaan maksimum 15 tahun, serta memastikan pengendali menghadiri latihan Industrial Code of Practice (ICOP) Keselamatan. Syarat-syarat ini bertujuan memastikan pengendali beroperasi secara sah, sekaligus menjamin keselamatan penumpang,” katanya lagi.

Jelasnya, satu garis panduan baharu akan dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet, bertujuan menyediakan kerangka kerja komprehensif bagi mengawal selia aktiviti Penginapan Sewaan Jangka Pendek (STRA) di Malaysia.

“Garis panduan ini memastikan pematuhan kepada perundangan semasa, memudahkan proses pelesenan, dan menangani isu gangguan komuniti seperti bunyi bising, kekurangan tempat letak kereta, pembuangan sampah, serta penyalahgunaan fasiliti bersama.

“STRA, yang menyediakan alternatif penginapan mampu milik, dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dengan unjuran ketibaan 35.6 juta pelancong menjelang tahun 2026. Pengoperasian STRA akan mewajibkan pemilik premis untuk mendaftar dan mendapatkan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, pembangunan sebuah platform digital khusus untuk pengurusan STRA telah dicadangkan bagi memastikan daya saing Malaysia dalam sektor pelancongan terus dipertingkatkan. Langkah ini juga bertujuan untuk menjaga kesejahteraan komuniti, memastikan keselamatan awam, dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Garis Panduan Perancangan Taman Kenderaan Rekreasi (RV Park) bertujuan memperkukuh sektor pelancongan Malaysia melalui perancangan strategik dan kawal selia bersepadu.

“Garis panduan ini menyediakan kerangka perancangan yang menyeluruh, termasuk keperluan tapak, pengurusan operasi, serta kelulusan pembangunan taman RV – dengan lokasi berpotensi di Rompin dan Sepang dijadikan projek perintis.

“Inisiatif ini turut memanfaatkan teknologi melalui platform MYCSRVP (Malaysia Campsite and Recreational Vehicle Park) yang berfungsi untuk meningkatkan ketelusan, memastikan pematuhan standard, dan memudahkan pengurusan taman kenderaan rekreasi. Langkah ini secara langsung menyokong agenda pelancongan mampan dan memperkasakan ekonomi tempatan.

“Saya percaya, kerjasama rapat antara kementerian dan agensi adalah amat penting dalam mewujudkan satu ekosistem yang kondusif untuk pembangunan industri pelancongan negara secara lebih pesat dan berdaya saing. Ia juga akan membolehkan sebarang isu yang timbul diatasi segera selain mengelakkan kekeliruan dari segi bidang kuasa, kawal selia dan penguatkuasaan, khususnya dalam menjayakan penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit