ILP Serian Dibuka Januari Tahun Hadapan, Laksana Roadshow Beri Pendedahan Program Pengajian

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan kementerian sudah menjalankan siri jelajah dalam memberikan maklumat berkenaan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian yang akan dibuka dengan pengambilan pertama pada Januari tahun hadapan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata sesi penerangan melalui program jelajah yang telah berkunjung ke Spaoh, Debak, Daro, Bilingian, Igan dan Mukah pada 22 sehingga 26 Mei lalu.

“ILP ini akan bermula pada Januari dan kita pun memerlukan seramai 600 orang pelajar dan sudah pastilah town hall diperlukan untuk memberi penjelasan penerangan kepada masyarakat seluruh negeri Sarawak ataupun Serian untuk memasuki ke pusat ILP tersebut.

“… dan program ini telah dilakukan iaitu program jelajah ke Spaoh, Debak, Daro, Bilingian, Igan dan Mukah pada 22 sehingga 26 Mei yang lalu. Berertinya kami telah membuat roadshow untuk memastikan ILP Serian ini akan dipenuhkan pelajar sehingga 600 orang pelajar,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian) yang berpendapat kepentingan diadakan sesi penerangan mengenai tertubuhnya ILP Serian.

Dalam pada itu Abdul Rahman turut sama berkata memandangkan ILP tersebut akan beroperasi pada Januari tahun hadapan penerimaan peralatan telah bermula pada November 2024 dan akan menerima sepenuhnya pada Julai 2025.

“Sekiranya tiada kelewatan dari segi prestasi pembekalan peralatan, pengambilan sepenuhnya boleh dilaksanakan pada Julai 2025.

“Kursus-kursus yang akan ditawarkan di ILP Serian ialah kursus Teknologi Binaan Bangunan, Teknologi Penyelenggaraan Bangunan, Teknologi Computer Added Design and Drafting (CADD), Teknologi Elektrikal serta Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara.

“Pengisian perjawatan di ILP Serian akan dibuat secara berperingkat serta jumlah perjawatan keseluruhan di ILP Serian adalah seramai 72 orang,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit