Dua Tahun Kerajaan Perpaduan: Kerjasama BN-PH Formula Terbaik, Mampu Bawa Kemakmuran

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Seusia dua tahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan, ia menjadi bukti bahawa kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mampu membawa kemakmuran kepada negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Azhar Zainal Abidin berkata, kestabilan politik yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun memerintah ini juga dapat memulihkan semula sokongan rakyat.

“Menjelang dua tahun penubuhan Kerajaan Perpaduan, kestabilan politik dan ekonomi dilihat berada pada tahap yang lebih baik berbanding dengan sebelum ini.

“Sungguhpun pada mulanya kerjasama antara BN dan PH ini dikatakan tidak mampu bertahan lama, Kerajaan Perpaduan telah membuktikan ia berjaya dan membawa kemakmuran kepada ekonomi serta sosioekonomi negara.

“Biar pun berdepan pelbagai rintangan, rakyat telah melihat kerjasama ini sebagai formula terbaik untuk menstabilkan semula politik dan ekonomi negara. Bukti terkini adalah sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota yang menunjukkan sokongan kuat rakyat terhadap BN,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi amat bertepatan untuk meneruskan momentum kerjasama BN-PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka akan berlangsung tahun hadapan.

“BN mestilah dilihat sebagai sekutu yang kuat untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada parti ini khususnya UMNO. Kerjasama ketika PRN bersama PH juga dilihat mampu mengukuhkan kedudukan BN di Sabah.

“Formula yang digunakan di semenanjung ini dipercayai mampu dilaksanakan. Cadangan dan kenyataan Presiden pada saya adalah bertepatan untuk meneruskan momentum kerjasama ini kerana ia boleh memberikan kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan baik di Sabah mahupun persekutuan.

“Diharapkan lebih ramai calon muka baharu yang diketengahkan khususnya daripada kalangan Pergerakan Pemuda UMNO pada PRN Sabah kali ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November 2022 memperlihatkan bahawa tidak ada satu pun parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, tuanku menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk menamatkan kemelut ‘kerajaan tergantung’ yang telah berlaku selama lima hari.

Sepanjang lima hari berlakunya ‘kerajaan tergantung’ itu, BN telah mengadakan pertemuan dengan PH dan Perikatan Nasional (PN). Namun PN telah menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Demi menyelamatkan negara, BN dan PH mengenepikan sengketa yang berabad, lalu memeterai kerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit