Bung Moktar Luah Kebimbangan Operator Pelancongan Sabah Tidak Dipelopori Orang Tempatan

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap kerajaan dapat mengambil perhatian dengan sektor perkhidmatan pelancongan di Sabah yang disifatkan beliau tidak dipelopori oleh orang tempatan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah malah mengambil contoh kedatangan pelancong di Korea kebanyakkan dikendalikan oleh rakyat dari negara berkenaan.

“Saya nampak tidak ada penyelarasan berhubung dengan perlesenan pelancongan ini seperti mana berlaku di Sabah contohnya pelancong Korea ini datang berbondong-bondong.

“… tetapi operatornya orang Korea, bas pengangkutan Korea, restoran milik orang Korea, tempat tinggal disewanya berpuluh-puluh bangunan di situ tempat mereka tinggal.

“Jadi saya tidak nampak tempias ekonomi itu melimpah kepada operator-operator tempatan kita,” katanya.

Bung berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi langkah drastik perlu dilakukan bagi menyekat perkara seperti ini berlaku kerana ia memberikan kerugian kepada penduduk tempatan terutama dalam menjana peluang ekonomi melalui pelancongan.

“Kalau boleh jangan benarkan sama sekali sebab di mana-mana negara luar negara, tidak ada begini.

“Tidak ada operator Malaysia, tidak ada hotel Malaysia, pengangkutan Malaysia, restoran Malaysia di China, Thailand, Kemboja atau di mana-mana.

“Di Malaysia ini begitu longgar jadi saya harap pihak kementerian dapat mencari pendekatan baharu untuk memastikan bahawa operator-operator tempatan ini mendapat limpahan ekonomi daripada kehadiran pelancong-pelancong,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.