BN Wilayah Persekutuan Susun Strategi Untuk Kemenangan Dalam PRU – Johari

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan dinamika politik hari ini menuntut keterbukaan terutama dalam menyusun strategi kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa berkata, ini termasuk dalam merampas kembali kerusi Parlimen Putrajaya dan Labuan daripada penguasaan pembangkang.

“Hari ini kita kena terima hakikat di Wilayah Persekutuan 11 (kerusi Parlimen) adalah dalam Kerajaan Perpaduan. Inilah dinamika politik… sebab itulah kita kena berhati-hati susun strategi BN dalam konteks BN Wilayah Persekutuan.

“Dua pembangkang di Putrajaya dan Labuan ini memang tidak ada dalam Kerajaan Perpaduan… yang ini kita mahu tempah awal-awal, mesti BN bertanding.

“…yang lain terserah kepada budi bicara Pengerusi BN untuk memikirkan bagaimana kita dapat bersama dalam Kerajaan Perpaduan khususnya dalam konteks lebih besar,” katanya,” katanya.

Johari berkata demikian pada ucapan beliau sempena Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan 2024 di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Datuk Mohd Razlan Rafii; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan kepimpinan lain.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar ahli parti membuang empat ‘penyakit’ utama sekiranya mahu komponen itu kembali kuat dalam PRU16.

Menurut Johari penyakit tersebut ialah delusinal (khayal), amnesia (pelupa), inertia (enggan membuat perubahan) dan sombong.

“Delusinal macam khayal atau terawang-awang, penyakit ini kita percaya bahawa sokongan rakyat kepada parti yang banyak berjasa akan berterusan, sebab parti ini sudah berjasa lama membangunkan ekonomi negara.

“Kemudiannya penyakit amnesia ini ialah terlupa akan sebab kenapa BN itu diwujudkan, apa tujuan perjuangan asal iaitu untuk membangunkan negara dan rakyat.

“Kita sudah lupa original kenapa datuk, nenek dan moyang termasuk Allahyarham Tun Razak wujudkan BN sebab asas fundamental perjuangan itu untuk membangunkan negara bagi menfaat rakyat

“Seterusnya penyakit ketiga adalah inertia iaitu enggan membuat perubahan atau pembaharuan dalam parti malah kita buat ‘bussines as usual’ dan sebab itu kita tak sedar. Saya pun tak sedar dan sebab itu saya kalah dalam PRU-14 meskipun lawan dengan orang yang tidak dikenali.

“Terakhir adalah sombong, sikap tidak boleh terima teguran dan tidak boleh berdepan dengan perbezaan pendapat, sikap tidak mahu mengaku kelemahan dan kesalahan serta tidak mahu bertolak ansur,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit