Konvensyen BN Perak Medan Kukuhkan Kesatuan Antara Satu Sama Lain – Saarani

IPOH, 24 Nov – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata konvensyen Barisan Nasional (BN) negeri itu hari ini adalah peluang untuk masing-masing memperkukuh kesatuan, menyusun dan memperkemas strategi serta  memperbaharui semangat perjuangan dalam barisan yang sama dan senada.

Menurut beliau yang juga Pengerusi BN Perak berkata dengan kebijaksanaan, solidariti dan usaha bersama parti itu diyakini akan terus menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran negeri dan negara.

“Maka, saya mengajak kita semua untuk menjadikan konvensyen ini sebagai medan untuk kita bersatu hati mengatur strategi. Konvensyen ini menjadi satu langkah penting untuk membina kembali asas-asas perjuangan kita, untuk mengukuhkan kembali nilai-nilai yang menjadi akar kepada kekuatan BN selama ini.

“Pertama, kita perlu bersama memperteguh solidariti serta kerjasama antara satu sama lain. Kekuatan BN selama ini dipandu oleh nilai-nilai persefahaman dan kebersamaan yang telah lama kita pelihara. Prinsip hormat-menghormati dan saling melengkapi antara sesama parti komponen serta Friends of BN adalah tunjang kepada kekuatan kita.

“Kedua, kita mesti berusaha mengukuhkan sinergi kerjasama kerajaan Negeri dan Persekutuan. Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kita menerima hakikat bahawa hubungan baik ini adalah tunjang kepada perencanaan dan pelaksanaan pembangunan negeri yang lancar dan berterusan.

“Ketiga, kita mesti bersepakat dalam menyuburkan naratif perpaduan. Ini antara perkara penting yang perlu kita ambil perhatian dengan sebaik-baiknya. Pihak lawan tidak akan jemu memainkan sentimen politik yang berbaur kaum dan agama. Apa sahaja keputusan, tindakan atau dasar kerajaan akan dikupas, dikritik dan dimanipulasi mengikut neraca perkauman dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN Perak yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta pimpinan BN Perak yang lain.

Saarani seterusnya menambah langkah seterusnya ialah mengangkat pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai agenda bersama.

“Sejak dilancarkan pada Jun 2022, pelan ini telah menjadi kompas yang membawa Perak mengecapi pelbagai kejayaan – sama ada dari aspek pembangunan ekonomi, tetapi juga menjadi sandaran kepada terlaksananya pelbagai polisi berorientasikan rakyat.

“Kelima tidak lain tidak bukan… kita perlu mempersiapkan jentera yang sofistikated menuju PRU-16. kita tidak ada pilihan lain. Tanpa jentera yang benar-benar bersedia, kita akan tewas. Landskap politik sudah menjadi semakin kompleks. Tanpa suntikan inovasi dan kreatitiviti, jentera kita akan hanyut dalam gelombang teknologi terkini.

“BN memerlukan jentera yang gagah untuk bersaing dalam persekitaran politik yang penuh dengan manipulasi fakta. Pilihan raya tidak lagi sekadar kempen di lapangan, tetapi melibatkan persaingan strategi di alam maya, penggunaan data dan kemampuan memintas isu yang dimainkan pihak lawan,”  tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit