Jentera Penerangan Main Peranan Penting Sebagai Agen Pencerahan – Khaled Nordin

PENGERANG, 24 Nov – Jentera penerangan terutamanya di peringkat bahagian dan cawangan perlu memainkan peranan sebaiknya sebagai agen pencerahan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, sebagai sebuah parti politik, UMNO perlu sentiasa berada dalam keadaan yang bersedia untuk menjayakan segala agenda.

“Saya berharap pertemuan kita pada hari ini akan memberi manfaat kepada semua pihak. Insya-Allah pada tahun hadapan Jelajah Penerangan UMNO ini akan dibuat tanpa mengira bahawa bahagian tersebut kuat ataupun tidak.

“Kita berhadapan dengan keadaan yang tidak begitu memihak kepada parti. Sebagai sebuah parti politik, perlu dipastikan bahawa kita berada dalam keadaan yang bersedia untuk menjayakan segala agenda. Maka pucuk pimpinan dibawah Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyusun semula organisasi parti.

“Beberapa bulan lepas telah disusun semula jentera parti selain daripada soal penjenamaan semula yg diterajui oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Kita juga ada jawatan kuasa bawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Naib Presiden UMNO untuk jentera ‘war room’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi forum bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said sempena program Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, kerja-kerja penerangan dan pencerahan perlu dilakukan sepanjang masa tidak mengira musim untuk memberi kefahaman tuntas kepada ahli serta rakyat.

“Kita berpendapat bahawa peranan dan sumbangan jentera penerangan ini yang paling penting untuk menang. Oleh itu, saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Azalina kerana telah mengambil peranan penuh, tanggungjawab dan memberi perhatian penuh untuk memperkukuhkan parti.

“Apa yang kita saksikan hari ini dalam usaha melaksanakan Jelajah Penerangan UMNO Malaysia ini, kerja-kerja yang dimulakan oleh Penerangan… pertama, ia tidak menunggu musim pilihan raya. Kerja Penerangan ini bukan hanya untuk pilihan raya, tetapi sepanjang masa.

“Kedua, kerja-kerja penerangan untuk memberi kefahaman kepada semua bagi menjelaskan kekeliruan dan sentimen… adalah tanggungjawab yang mesti dimainkan oleh semua pihak. Atas sebab itu, semua jawatankuasa bahagian dijemput untuk hadir ke program ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar pelbagai tohmahan yang dilemparkan oleh pihak lawan dapat ditepis sebaiknya dengan kekuatan jentera penerangan parti.

“Oleh itu penting untuk mereka sebagai pemimpin bahagian ini dapat menyampaikan mesej parti termasuklah perkara-perkara yang penting agar difahami bukan sahaja oleh ahli bahkan rakyat dan sebagainya.

“Saya percaya sepanjang Jelajah ini diadakan, perkara-perkara yang perlu dilakukan telah pun disampaikan kepada tuan-tuan dan puan-puas semua sama ada kerja-kerja konten dan sebagainya.

“Hanya dari segi parti, saya berharap semua kepimpinan mampu menjawab mengenai isu bagaimana kita boleh berada dalam Kerajaan Perpaduan, adanya Dap dalam kerjasama tersebut, soal perjuangan parti untuk mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib… saya harap semua lapisan kepimpinan parti faham dan memberi pencerahan kepada semua,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak tiga bahagian dihimpunkan untuk Jelajah Penerangan UMNO pada kali ini iaitu Pengerang, Kota Tinggi dan Pasir Gudang.

Lebih 300 orang pemimpin di peringkat bahagian tersebut telah hadir untuk mempelajari pelbagai teknik bagi menghadapi pilihan raya akan datang termasuklah penguasaan media sosial dan kecerdasan bulatan (AI).

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaidi Makmor, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros dan para pemimpin empat peringkat dari setiap bahagian terlibat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit