Jelajah Penerangan: Manfaatkan Media Sosial, Tinggalkan Pendekatan Lama – Azalina

PENGERANG, 24 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said beranggapan bahawa semua jentera parti perlu memanfaatkan media sosial dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi untuk memenangi hati para pengundi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang berkata, kaukus 3P ‘war room’ ini dicipta sebagai senjata untuk melawan musuh pada masa akan datang.

“Kita sebagai orang Melayu tahu sejarah UMNO dan pembentukan Malaysia, sudah semestinya kita faham apa yang dibincangkan adalah untuk mengekalkan Islam sebagai agama persekutuan, mempertahankan bangsa, bahasa Melayu dan raja-raja (3R).

“Hari ini yang persoal isu 3R ini adalah parti politik Melayu sendiri. Pas guna isu agama persoal beberapa keputusan kerajaan untuk menanam kebencian rakyat. Banyak raja-raja Melayu dihina di sosial media.

“Apabila wujud Kaukus 3P ini… apabila kita pergi perang, itu sebabnya kita hantar ‘team’ Penerangan supaya setiap bahagian berupaya untuk menguasai instrumen propaganda yang dapat diimplementasikan bersama media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi forum bersama Naib Presiden UMNI, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena program Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, anak-anak muda pada masa kini lebih cenderung untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) disebabkan pengaruh media sosial.

“Pada beberapa hari yang lepas keputusan kajian menunjukkan pengundi muda banyak sokong PN kerana mereka amat media sosial. Kalau kita nak menang, kita juga perlu ke hadapan dan menguasai segala platform yang ada untuk menarik minat anak muda terhadap parti.

“Hari ini pembangkang (PN) pegang media sosial dan ia digunakan untuk melemparkan segala tohmahan. Saya sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi melihat bahawa kita mesti bersedia dan tidak boleh lagi menggunapakai pendekatan lama.

“Kita sebagai jawatankuasa bahagian… kalau kita lihat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota, kemenangan berlaku kerana media sosial kita lebih laju daripada mereka (pihak lawan). Ini kerana bahagian dan bahagian angkat memainkan peranan sebaiknya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para pemimpin bahagian mengambil inisiatif untuk mengadakan kursus bagi menggunapakai media sosial dan sistem terkini seperti kecerdasan buatan (AI).

“Kita perlu gunakan telefon bimbit sebagai jentera politik harini. Hanya perlu ‘like’, komen dan ‘share’. Pertama, sebab ia cepat, murah dan lebih mudah diakses. Takkanlah kita nak pakai sistem yang lama dan lapuk?

“Selepas ini para pemimpin di peringkat bahagian perlu mengadakan kursus untuk menggunakan sistem yang ada. Kalau tidak, sehebat mana pun calon kita pertandingkan, tetap akan kalah tanpa strategi yang betul.

“Kita dapat mematahkan musuh media sosial yang menyebabkan kekalahan kita semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 pada beberapa siri PRK lalu. Selain itu, kita juga perlu melatih para pemimpin bahagian untuk mengenali berita palsu dan benar,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak tiga bahagian dihimpunkan untuk Jelajah Penerangan UMNO pada kali ini iaitu Pengerang, Kota Tinggi dan Pasir Gudang.

Lebih 300 orang pemimpin di peringkat bahagian tersebut telah hadir untuk mempelajari pelbagai teknik bagi menghadapi pilihan raya akan datang termasuklah penguasaan media sosial dan kecerdasan bulatan (AI).

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaidi Makmor, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros dan para pemimpin empat peringkat dari setiap bahagian terlibat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit