Ahmad Zahid Seru Parti Komponen BN Terus Berpadu, Perkukuh Kekuatan Hadapi Pilihan Raya

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru parti-parti komponen untuk terus memperkukuh kekuatan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO berkata, pengukuhan itu penting untuk memastikan gerak kerja dilaksanakan bagi memastikan parti ini kembali dominan.

“Cukup-cukuplah BN dan rakan-rakan UMNO, MCA, MIC, PBRS… cukuplah ada masalah dalaman, yang penting kita mesti berpadu dalam keadaan sekarang ini.

“Budaya kita bukan budaya pembangkang. Budaya kita bukan budaya melukut di tepi gantang kita harus dominan semula dalam pilihan raya akan datang

“Kita wajib menang banyak, lupakan segala titik bengik. Saya yakin dengan kepimpinan parti-parti BN sekarang ini untuk bersatu padu,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan 2024 di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Datuk Mohd Razlan Rafii; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan kepimpinan lain.

Ahmad Zahid dalam pada itu menyambut baik saranan Johari Abdul Ghani untuk menutup segala kekecewaan yang dialami parti sebaliknya perlu terus bangkit demi membawa obor perjuangan parti.

“Tidak ada istilah kecewa atau berputus asa dalam politik. Saya amat yakin di konvensyen BN ini kita bangkit semula. Tidak ada parti lain yang boleh membantu kita. Tidak ada orang lain yang boleh membantu kita, kecuali diri kita sendiri,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit