Jentera Penerangan Perlu Fahami Dan Perkasakan Platform Media Sosial – Azalina Othman

AYER KEROH, 23 Nov – Dalam era digital hari ini, media sosial menjadi salah satu alat komunikasi paling berpengaruh, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina yang juga Menteri Undang-undang Dan Reformasi menasihat jentera penerangan perlu memahami dan memanfaatkan platform ini secara strategik untuk menyampaikan maklumat dan membentuk persepsi awam.

“Senario politik hari ini sudah berubah dan paling penting jentera penerangan UMNO harus tahu konten di media sosial. Sebagai jentera penerangan UMNO cukup memahami mengenai perlembagaan parti dan juga negara.

“Cabaran paling utama pada pilihan raya akan datang adalah ikatan pengundi muda dengan instrumen yang dipanggil media sosial. Kemahiran ini perlu ada pada semua ahli UMNO terutamanya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga Parlimen.

“Pengundi muda semakin kritikal dalam menentukan kemenangan, dan instrumen yang dipanggil media sosial adalah medan utama untuk menarik perhatian mereka. Kemahiran ini perlu dimiliki oleh semua ahli UMNO, terutamanya di peringkat jentera penerangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO Malaysia peringkat Negeri Melaka di Auditorium Kompleks CMI Melaka International Trade Centre (MITC), malam tadi.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan; Pengamal Undang-undang, Hamidi Mohd Noh; Speaker Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum, ADUN Duyung, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; ADUN Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zain serta jentera-jentera penerangan seluruh negeri Melaka.

Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang berharap Jentera Penerangan UMNO dapat memperkukuhkan peranan di platform digital seterusnya langkah ini sebagai elemen penting bagi parti.

“Bagi memperkukuhkan media sosial Jentera Penerangan UMNO perlu hadir di platform digital. Langkah ini dianggap penting untuk memastikan UMNO kekal relevan dan mampu mendekati semua lapisan masyarakat, terutama generasi muda yang merupakan penentu masa depan politik negara.

“Penggunaan media sosial secara strategik mampu membentuk persepsi awam yang positif terhadap parti sambil menangkis serangan berbentuk fitnah atau maklumat tidak tepat daripada pihak lawan,” katanya lagi.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan bahawa parti itu akan terus mempertahankan kontrak sosial yang terkandung dalam prinsip 3R (Raja, Agama, dan Bangsa).

“Antara keutamaan yang ada Perlembagaan parti adalah mempertahankan institusi agama, raja-raja, bahasa Malaysia. Kita perlu memahami isu kedaulatan negara dan parti ini tidak akan lari dan menjadi tanggungjawab parti. Hanya UMNO yang akan terus mempertahankannya.

“Perkara yang menjadi kelebihan orang-orang Melayu adalah perlembagaan negara iaitu kewarganegaraan, kedaulatan Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu dan perkara ini tidak boleh diubah. UMNO bergerak mengikut perlembagaan parti.

“Merasa bimbang kerana ada parti politik yang memainkan isu ini terhadap kontrak sosial dan asas-asas pembentukan Malaysia. UMNO tetap menjadi benteng utama yang mempertahankan keistimewaan orang Melayu, perpaduan nasional, dan kestabilan politik negara,” jelas beliau.

UMNO akan terus memastikan kedaulatan negara terpelihara dan perlembagaan parti akan menjadi panduan dalam setiap langkah politiknya, ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit