Dua Tahun Kerajaan Perpaduan, Terus Tunjukkan Impak Positif Pada Rakyat – Raqib Hassan

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan berpandangan bahawa UMNO Kedah memerlukan rakan kongsi seperti Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil.

Menurut beliau, kepentingan kerjasama ini demi memenuhi aspirasi politik rakyat di peringkat negeri bagi membentuk sesebuah kerajaan negeri.

Katanya, selepas dua tahun Kerajaan Perpaduan mampu menunjukkan impak besar dalam hala tuju negara kepada semua lapisan masyarakat malah rakyat merasa selesa dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang ada.

“Gabungan Barisan Nasional (BN) dan PH lebih perlu bekerja kuat dalam memenangi hati setiap masyarakat dan pengundi, kini ia perlu menunjukkan satu impak yang besar tentang hala tuju untuk rakyat agar terus merasa selesa.

“Dalam konteks negeri Kedah, UMNO tidak dapat bergerak bersendirian untuk mencapai kestabilan politik. Kerjasama dengan PH dilihat sebagai langkah strategi untuk menubuhkan kerajaan yang kuat dan berdaya tahan di negeri itu.

“Kerjasama seperti ini selaras dengan keperluan politik semasa yang memerlukan pendekatan inklusif demi memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Serai yakin pengundi Melayu di Kedah sudah mula kembali pada BN dan yakin bahawa pentadbiran kerajaan BN yang terbaik untuk rakyat.

“BN kalah pada pilihan raya lalu disebabkan fitnah oleh pihak lawan. Kini apa yang dibahaskan oleh pihak lawan pada PRU 14 dan 15 tidak menggambarkan BN menzalimi rakyat.

“Pengundi sekarang sudah cerdik, segala maklumat berada di hujung jari. Mereka mampu menilai parti mana yang mampu membantu rakyat dan sedar hanya BN boleh kembalikan kegemilangan ekonomi, kestabilan politik dan sosial,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau menjelaskan buat masa ini, BN masih tidak mampu untuk memenangi hati pengundi Cina dan India.

“Bagi pengundi Melayu pula, mereka sudah kembali memberi kepercayaan kepada BN apabila dua Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu di Nenggiri dan Mahkota, undian anak muda dan pengundi Melayu sudah kembali mengundi BN,” jelas beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit