Ziarah Kasih Komitmen UMNO Putrajaya, Teruskan Tradisi Berkhidmat Demi Rakyat

PUTRAJAYA, 22 Nov – Dalam usaha memperkukuh tradisi kebajikan yang menjadi teras perjuangan UMNO, Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Pengerusi Biro Kebajikan, Husna Abdul Rahaman, terus menunjukkan komitmen beliau terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.

Mewakili Ketua Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, beliau meneruskan gerak kerja program Ziarah Kasih yang diadakan bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro Kebajikan UMNO bahagian untuk menziarah beberapa individu yang sedang uzur dan memerlukan sokongan.

Program Ziarah Kasih yang dilaksana baru-baru ini dimulakan dengan lawatan ke Hospital Putrajaya untuk menziarahi Marlina yang sedang menjalani rawatan.

Ketibaan mereka di lobi hospital turut memberikan peluang untuk bertemu dengan beberapa warga emas yang sedang menerima rawatan serta keluarga yang datang menziarahi pesakit.

“Pertemuan tersebut bukan sahaja mempererat hubungan, malah ia turut memberi kegembiraan kepada kami dan mereka yang berpeluang bertemu semula selaku keluarga besar di Putrajaya.

“Sebagai sebahagian daripada masyarakat, kita harus sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan mereka yang memerlukan. UMNO sentiasa berusaha untuk memastikan tiada seorang pun yang tercicir dalam arus pembangunan, termasuklah mereka yang berada dalam kesusahan atau sedang sakit.

“Kami sentiasa berusaha memberi sokongan, bukan sahaja dari segi material, tetapi juga emosi, agar mereka rasa dihargai dan tidak terasa terpinggir,” katanya.

Usai lawatan di Hospital Putrajaya, Husna dan AJK Biro Kebajikan kemudian meneruskan Ziarah Kasih ke Presint 9, mengunjungi Fatimah Zahra yang tinggal di Fasa 4A dan Kamariah di Blok 3B.

“Program ziarah ini bukan sahaja sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial, tetapi juga sebagai satu manifestasi kasih sayang dan kebersamaan antara masyarakat dan UMNO.

“Semoga dengan setiap usaha yang dilakukan, mereka yang sedang diuji dengan ujian kesakitan ini akan merasa lebih dekat dengan komuniti mereka dan tidak merasa terpinggir,” jelas Husna.

Dalam kesempatan tersebut, Husna turut menyampaikan kata-kata semangat dan doa agar mereka yang uzur diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.

Beliau juga berharap agar usaha Ziarah Kasih ini menjadi contoh kepada semua pihak untuk terus memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan, khususnya golongan warga emas dan mereka yang sedang sakit.

“UMNO akan terus menggerakkan program kebajikan ini untuk memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terjaga kerana UMNO adalah parti yang tak banyak alasan,” katanya.

Program Ziarah Kasih yang dijalankan oleh Biro Kebajikan UMNO Bahagian Putrajaya ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan UMNO Putrajaya untuk mendekatkan diri dengan masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan sokongan moral dan fizikal.

“Dengan pendekatan yang mesra dan prihatin sebagaimana idea Ketua UMNO Bahagian Putrajaya maka diharapkan program ini dapat mengukuhkan ikatan antara parti dan rakyat serta memberi harapan kepada mereka yang dalam kesusahan.

“Semoga segala usaha yang dilakukan oleh UMNO Putrajaya ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan membawa kebaikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit