TVET Tawar Pelbagai Bidang, Punyai Kebolehpasaran Tinggi – Azman

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan pelbagai bidang dan mempunyai peratus kebolehpasaran graduan yang tinggi, kata Penyelaras TVET untuk Sekretariat Majlis TVET Negara, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, program TVET yang ditawarkan turut melibatkan 12 kementerian dan agensi dengan 1,398 institusi di seluruh negara.

“Di bawah Kerajaan Madani hari ini memang pengkhususan diberi seluas-luasnya untuk TVET dan ia melibatkan 12 kementerian, pelbagai agensi serta terdapat 1,398 institusi di seluruh negara.

“Terdapat pelbagai bidang ditawarkan antaranya perniagaan, teknikal, pelancongan, perhotelan, reka bentuk, pertanian moden dan sebagainya. Jadi, dari segi spektrum bidang itu meluas. Sekiranya ada pelajar yang berminat… sekarang ini kita ada platform baharu diberi nama sebagai UP_TVET.

“Di laman web tersebut kita boleh lihat bidang ditawarkan dan diminati oleh anak-anak muda, khususnya yang lebih sesuai untuk mereka dengan kemahiran ataupun minat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara di rancangan ‘Selamat Pagi Malaysia’ siaran RTM pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan memberikan penekanan terhadap pendidikan TVET ini kerana ia terbukti mempunyai hasil yang memberangsangkan untuk anak-anak muda.

“Kita amat menggalakkan seluas-luasnya (kepada anak muda) kerana pada hari ini memang penekanan diberikan kepada institusi TVET dan kita harapkan lebih ramai anak-anak muda (menceburkan diri) kerana hasilnya begitu memberangsangkan.

“Ini kerana dari segi tangga gaji dan sebagainya, banyak ‘success story’ yang kita boleh kongsikan apabila hari ini ramai lepasan TVET mempunyai kadar kebolehpasaran begitu tinggi iaitu hampir 94.5 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut yakin dan percaya bahawa dengan adanya pendidikan TVET ini, ia mampu membantu anak-anak muda meningkatkan taraf hidup mereka serta memperoleh pekerjaan.

“Begitu juga institusi politeknik yang mempunyai kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98 peratus manakala kolej komuniti pula 97 peratus. Dari segi keberhasilannya, telah terbukti dan kita ingin teruskan agenda ini supaya lebih ramai anak-anak muda diluar sana ceburi.

“Dengan adanya platform seperti TVET ini, Insya-Allah kita yakin dan percaya boleh mendapatkan pekerjaan untuk anak-anak muda khususnya,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit