‘Terjah Untuk Pastikan Setiap Sen Duit Rakyat Dibelanjakan Dengan Betul’ – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 22 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook menyifatkan cara kerjanya yang acap kali turun padang sebagai amanah beliau dalam menggalas tugas sebagai pemimpin.
Malah beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), ini termasuk kehadirannya ke setiap sekolah dan institut di bawah agensi itu dalam keadaan baik bagi memastikan para pelajar dan warga pendidik berada dalam persekitaran yang kondusif.
“Benar saya boleh sahaja pilih bersama Ahli Majlis luluskan peruntukan dari bilik mesyuarat.
“Namun, saya pilih untuk turun juga ke bawah pastikan setiap sen duit rakyat dibelanjakan dengan betul dan amanah agar tidak dipersoal Allah kelak,” katanya menerusi hantaran yang sama.
Terdahulu, Dr Asyraf pada perkongsian berbeza turut memaklumkan sudah meneliti status setiap projek naik taraf dan baik pulih di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) hasil terjahan beliau ke beberapa lokasi IPMA termasuk 41 buah MRSM yang telah dilawati, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kolej Profesional MARA setakat hari ini.
Pada dapatan itu beliau meluahkan kesyukuran bahawa hampir 90 peratus telah siap sempurna kecuali di MRSM Terendak yang dijangka siap pertengahan Disember.
Menurut beliau ini kerana kos tinggi bernilai RM400,000 yang melibatkan pembaikan besar tandas-tandas yang rosak teruk, bilik guru dan fasiliti asrama.
Dr Asyraf dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan MARA di semua peringkat yang mengambil tindakan pantas selepas sahaja beliau dan Ahli Majlis meluluskan peruntukan khas untuk membantu IPMA yang perlu ditangani segera.
“Insya-Allah MARA sentiasa komited untuk memastikan prasarana dan persekitaran pembelajaran berada dalam keadaan terbaik agar pelajar dan warga kerja IPMA dapat terus melakar kecemerlangan.
“Apa-apapun #terjah tetap akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan sempurna, berkesan dan tiada sebarang ketirisan,” ujar beliau. – UMNO Online