Naikkan Waktu Bekerja Risiko Tambah Tekanan Kepada ‘Frontliner’ Sektor Awam – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap kerajaan dapat mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu kepada pekerja sektor awam yang bekerja secara syif.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Dr Akmal Saleh berkata ini kerana keputusan kerajaan menyelaraskan waktu bekerja sektor awam daripada 42 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan baru-baru ini membebankan kakitangan antaranya yang bekerja di sektor keselamatan dan kesihatan.

“Mempertimbangkan pengenalan polisi kiraan jam setara bagi penjaga kebajikan penjawat awam yang bekerja secara syif. Polisi ini dicadangkan untuk memastikan setiap jam kerja selepas jam lima petang dikira lebih daripada satu jam sebenar contohnya sebagai satu jam 20 minit.

“Ini mengambil kira bahawa waktu bekerja tersebut berada di luar waktu kerja biasa, yang mana bukanlah waktu ideal untuk manusia bekerja. Melalui pendekatan ini, penjawat awam yang bekerja secara syif dapat mencapai jumlah jam kerja yang setara dengan penjawat awam yang bekerja pada waktu biasa.

“Dengan mengambil kira jumlah hari bekerja selama lima hari seminggu, setiap penjawat awam yang bekerja secara syif akan mempunyai jumlah waktu bekerja setara 45 jam seminggu, termasuk lima jam rehat tengahari (satu jam sehari x lima hari). Polisi ini bukan sahaja dapat memastikan kesaksamaan tetapi juga menghargai pengorbanan penjawat awam yang bekerja di luar waktu bekerja normal,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau malah berkata keputusan ini juga wajar mendapat penglibatan wakil pekerja dalam membuat sebarang dasar yang melibatkan kebajikan mereka bagi mengutamakan kesejahteraan pekerja untuk meningkatkan produktiviti mereka.

Dalam pada Dr Akmal turut menambah sebagai frontliner yang bertugas menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat mereka sudah sedia berdepan dengan cabaran yang berat.

“Mereka bekerja tanpa henti, termasuk pada waktu malam, hujung minggu, dan cuti umum, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

“Keputusan untuk meningkatkan waktu bekerja ini bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan mereka, malah berisiko menambah tekanan kepada mereka yang telah pun terdedah kepada risiko burnout.

“Ia merupakan ketidakadilan kepada pekerja syif. Cadangan ini dilihat tidak mengambil kira realiti pekerja secara syif yang berbeza daripada mereka yang bekerja dalam waktu pejabat biasa. Antaranya; waktu kerja tidak menentu,kehilangan cuti umum dan tekanan fizikal dan mental yang tinggi bedasarkan perkhidmatan diperlukan,” ujar beliau.

Katanya lagi, kebajikan pekerja sector awam, khususnya terlibat dengan perubahan ini perlu dijaga dalam usaha membangunkan negara, kebajikan dan produktiviti mereka yang membanting tulang di sektor awam mestilah diutamakan.

“Pemuda UMNO Malaysia akan terus memperjuangkan nasib pekerja sektor awam dan memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan. Kami juga akan mengemukakan surat bantahan rasmi kepada pihak berkaitan untuk menegaskan pendirian ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit