Dua Tahun Kerajaan Perpaduan: Kepakaran Barisan Menteri BN Beri Nilai Tambah

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Kepakaran barisan menteri dari Barisan Nasional (BN) dilihat memberi nilai tambah kepada kelancaran pentadbiran Kerajaan Perpaduan semenjak ia ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Nuraini Yusoff berkata, sepanjang Kerajaan Perpaduan mentadbir negara hampir dua tahun ini pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menjamin Malaysia yang lebih sejahtera.

“Alhamdulillah telah hampir dua Kerajaan Perpaduan ditubuhkan. Dari sudut perkembangan negara saya melihat banyak usaha baik telah dijalankan merangkumi beberapa aspek penting.

“Ini termasuklah kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial, hubungan antarabangsa, inovasi dan teknologi serta banyak lagi,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kestabilan politik yang dibina hasil kerjasama 14 buah parti ini berjaya mengurangkan ketegangan dan ia memberi laluan kepada Kerajaan Perpaduan memajukan negara.

“Kestabilan politik yang dicapai melalui kerjasama pelbagai parti dan kelompok di dalam kerajaan berjaya mengurangkan ketegangan politik.

“Ia dapat memberikan laluan kepada Kerajaan Perpaduan untuk menarik lebih banyak pelaburan dari luar dan seterusnya membentuk kerjasama dalam pelbagai bidang bagi memberi manfaat ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan.

“Saya juga melihat banyak program telah berjaya dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat bahawa para menteri dari BN memainkan peranan sebaiknya untuk membantu pentadbiran Kerajaan Perpaduan lebih berkesan.

“Barisan menteri dari BN mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam pelbagai bidang pentadbiran serta dasar kerajaan. Sudah pastinya ini membawa nilai tambah yang besar kepada Kerajaan Perpaduan dalam membantu untuk merangka dan melaksanakan polisi-polisi yang baik untuk rakyat.

“Secara keseluruhan, peranan aktif para menteri dari BN telah membantu Kerajaan Perpaduan mentadbir negara dengan lebih berkesan dalam memastikan setiap keputusan dan dasar-dasar yang diputuskan kerajaan mengambilkira serta mencerminkan kepentingan pelbagai pihak,” katanya lagi.

Untuk rekod, keputusan PRU ke-15 pada 24 November 2022 memperlihatkan bahawa tidak ada satu pun parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, tuanku menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk menamatkan kemelut ‘kerajaan tergantung’ yang telah berlaku selama lima hari.

Sepanjang lima hari berlakunya ‘kerajaan tergantung’ itu, BN telah mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Namun PN telah menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Demi menyelamatkan negara, BN dan PH mengenepikan sengketa yang berabad… lalu memeterai kerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit