Siti Aminah Mohon KKR Selesaikan Masalah Kelewatan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Di Sabah

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching memohon agar Kementerian Kerja Raya (KKR) menyelesaikan masalah kelewatan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo melibatkan kawasan Membakut dan Beaufort ke Sipitang.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, isu jalan raya di Sabah amat kritikal dan perlu diberikan perhatian oleh KKR agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Jalan raya di Sabah merupakan isu yang sangat kritikal dan perlu dipandang serius oleh kementerian dalam menyelesaikan permasalahan ini secara tuntas. Kerosakkan jalan raya ini telah banyak memberi kesan buruk terhadap rakyat Sabah kerana mereka terpaksa menangung kos yang lebih tinggi untuk ‘maintainance’ kenderaan.

“Ini disebabkan kerosakkan kenderaan seperti tayar pecah, rim bengkok, dan alatan kenderaan seperti ‘absorber’, ‘drive shaft’ dan ‘steering rack’ yang terpaksa ditukar dengan kerap akibat melalui jalan raya yang teruk berlubang sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, mengikut laporan terdapat 710 kilometer jalan raya di Sabah rosak teruk termasuklah 126 kilometer yang berada dalam keadaan kritikal.

“Melihat kepada nilai peruntukan bagi kelima-lima butiran ini secara keseluruhannya telah berkurang berbanding tahun lepas iaitu RM596,936,839. Pada tahun ini, anggaran peruntukkan hanya RM468,138,700. Mengikut laporan, jalan raya yang rosak teruk ialah 710 kilometer, manakala 126 kilometer dikategorikan sangat kritikal. Untuk penyelesaian, ia memerlukan rm1.8 bilion ringgit.

“Saya ingin bertanya kepada kementerian, apakah bentuk kerjasama dan komitmen yang telah digerakkan antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam menyelesaikan masalah jalan raya di Sabah secara tuntas?

“Berapakah jalan persekutuan utama di Sabah yang telah mendapat peruntukan dan siap pada tahun 2022 dan 2023? Daripada jalan tersebut berapakah yang telah mengalami kerosakkan semula?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kelewatan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo telah memberi kesan buruk kepada penduduk setempat apabila beberapa siri kemalangan telah berlaku.

“Saya juga ingin menyentuh sedikit berkenaan Projek Pan Borneo Membakut, Beaufort ke Sipitang. Melihat kepada kemajuan pembinaan jalan ini, saya amat kecewa kerana sudah lebih sepuluh tahun projek Pan Borneo ini masih belum siap.

“Ia telah memberi kesan buruk kepada penduduk setempat kerana banyak kenderaan yang telah rosak dan beberapa siri kemalangan telah berlaku terutama sekali di kawasan Beaufort ke Sipitang.

“Apakah punca berlaku kelewatan projek ini memandangkan di tempat lain tidak seteruk seperti di daerah Beaufort. Saya memohon sebagai Ahli Parlimen Beaufort agar pihak kementerian dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit