Perpaduan Jadi Kunci Kebangkitan UMNO Dalam Kerajaan, Teruskan Perjuangan – Dr Khairuddin

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Kerajaan Perpaduan harus dipertahankan kerana ia menjadi satu formula baharu untuk UMNO menerajui kerajaan dan usaha parti untuk bangkit dari kekalahan pada pilihan raya lalu, kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1 berkata, kebersamaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah menyambung legasi yang telah dibina oleh parti ini malah legasi ini melibatkan pentadbiran Islam, kebajikan rakyat, ekonomi dan sebagainya.

“Menteri-menteri yang mewakili UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah pimpinan tertinggi parti, seperti Presiden UMNO menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; Menteri Luar Negeri, Menteri Pertahanan, Menteri Perladangan dan Komoditi serta Menteri Pengajian Tinggi.

“Mereka dilihat berjaya membawa misi sebagai menteri dan pada masa yang sama mengharumkan nama UMNO kerana mereka ini orang yang berpengalaman dalam kerajaan berbanding dengan rakan-rakan lain yang masih lagi ‘genuine’ dan mereka belajar kemahiran dari menteri-menteri UMNO,” katanya kepada UMNO Online, di sini selepas Muzakarah Ilmuwan UMNO Malaysia kali ke-3, hari ini.

Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas menasihati akar umbi agar kekal bersama perjuangan UMNO dan sewajarnya harus merasa bangga bahawa UMNO adalah sebahagian dari Kerajaan Perpaduan selain banyak menyumbang pada rakyat.

“Ahli-ahli parti sepatutnya merasa bangga dengan kerajaan hari ini bahawa pimpinan UMNO menyumbang tenaga, idea untuk rakyat. Jangan dengar hasutan yang menyatakan pimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ini terlalu kecil.

“Jangan bilang dari kecil bilangan dan lihat pada pengaruh yang ada pada UMNO. Paling penting parti ini dapat menyumbang pada rakyat dan yakin dengan kehadiran dalam Kerajaan Perpaduan ini sangat besar serta bersedia untuk menerajuinya secara bersama.”

Beliau juga yakin UMNO boleh bangkit hasil dari gerak kerja yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri lain.

“Tiga tahun berbaki ini Presiden UMNO mampu menggerakkan parti kembali cergas terutamanya dalam melibatkan rakyat serta mengambil semula negeri-negeri yang kalah seperti Terengganu, Perlis dan Kedah serta memperkuatkan kembali di negeri Pahang dan Perak,” katanya lagi.

Ujarnya, UMNO akan berhadapan pilihan raya negeri di Sabah sebagai cabaran awal seterusnya Melaka dan Johor.

“Ini adalah ujian awal sebelum memasuki Pilihan Raya Umum (PRU)”. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit