Pahang Tunjuk Kecemerlangan Hasil Negeri Tiga Tahun Berturut-Turut – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Pahang sekali lagi mencatat sejarah gemilang apabila berjaya mencapai kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion untuk tiga tahun berturut-turut dan ia sesuatu yang jarang berlaku dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) berkata pencapaian ini bukan sahaja membuktikan kecemerlangan pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tetapi juga keberkesanan strategi ekonomi yang dirancang rapi dan dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Pencapaian ini adalah simbol keunggulan kepimpinan dan dedikasi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta seluruh pasukan pentadbiran negeri. Ia bukan hanya angka, tetapi manifestasi kepada usaha berterusan untuk membawa Negeri Pahang ke tahap yang lebih tinggi.

“Kejayaan Pahang dalam mencapai hasil melebihi RM1 bilion secara konsisten menunjukkan bahawa pendekatan negeri ini lebih holistik. Daripada pembangunan infrastruktur, perumahan mampu milik, hingga kebajikan sosial dan pendidikan di setiap perancangan telah memperlihatkan keprihatinan terhadap keperluan rakyat.

“Beberapa inisiatif seperti program Perumahan Rakyat Pahang (PRP) dan bantuan kebajikan bagi golongan yang memerlukan membuktikan komitmen negeri dalam menjaga kebajikan rakyat dari semua lapisan umur, daripada bayi yang baru lahir hinggalah ke warga emas,” katanya.

Mengulas lanjut kata Ketua UMNO Bahagian Lipis ini, bahkan Pahang juga melakukan pendekatan proaktif dalam pengurusan kewangan yang telah memastikan hasil yang diperoleh digunakan untuk memacu pembangunan negeri secara menyeluruh.

“Peruntukan kepada sektor pendidikan juga menjadi bukti bahawa pentadbiran negeri serius dalam melahirkan generasi muda yang berkualiti.

“Bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menunjukkan bahawa Negeri Pahang tidak melupakan asas kepada pembangunan yang mapan iaitu pendidikan,” katanya lagi.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain terutama dalam Pantai Timur, Pahang mengungguli dari segi kutipan hasil negeri dengan prestasi melebihi RM1 bilion.

“Kelantan, dengan hasil dengan kutipan RM607 juta pada 2023. Terdapat peningkatan, namun, prestasi kewangan masih jauh di bawah Pahang, dengan belanjawan yang lebih kecil tetapi fokus kepada pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat.

“Terengganu pula mencatat hasil lebih tinggi berbanding Kelantan, dengan hasil negeri sekitar RM800 juta yang bergantung kepada sumbangan royalti petroleum,” jelasnya.

Ujarnya, semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus maju bagi Menteri Besar dan pentadbirannya serta seluruh rakyat Pahang, Pahang nombor satu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit