MARA ‘Mendunia’ Dengan Kerjasama UAE, Buka Peluang Usahawan Dan AI Dalam TVET – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan MARA ‘mendunia’ apabila memeterai beberapa kerjasama dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memanfaatkan peluang menambah baik program-program yang tersedia di bawah agensi itu bagi manfaat rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi MARA memaklumkan lawatan kerja ke negara itu membawa penanda aras tersendiri antaranya kepada usahawan MARA dalam mempromosikan produk mereka sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@Dubai 2024 dalam membuka peluang usahawan tersebut menembusi pasaran benua Arab.
“Keterlibatan usahawan-usahawan MARA yang kita bawa khas ke UAE di Dubai ini untuk menyertai pameran terbesar dalam industri halal iaitu MIHAS.
“Seramai 17 usahawan kita terlibat secara langsung melalui program yang dinamakan sebagai Gate To Global. MARA mengambil inisiatif untuk membangun dan membimbing usahawan-usahawan yang berpotensi untuk melebarkan sayap mereka ke benua Arab ini melalui pintu masuk Dubai ini untuk ke serata negara Arab.
“Pasaran yang kita letakkan untuk usahawan-usahawan ini dapat mengikat kontrak-kontrak kerjasama berjumlah RM100 juta ringgit insya-Allah bakal tercapai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Asyraf dalam pada itu turut memaklumkan bahawa lawatan kerja tersebut juga turut menyaksikan komitmen UAE untuk membuka ruang kerjasama yang lebih rapat antara Muhamed bin Zayed University of Artificial Intelligence yang merupakan universiti yang terulung dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) bersama dengan MARA khususnya UniKL.
“Kami juga telah mengadakan kerjasama strategik dalam bidang AI di mana kerajaan UAE antara negara yang terkehadapan dalam memperuntukkan jumlah yang besar pelaburan dalam bidang AI ini sebanyak USD 100 juta.
“Dapat dilihat dalam sistem pendidikan mereka bukan sahaja dalam arus perdana mahupun arus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mereka memanfaatkan semuanya AI,” ujar beliau.
Menurut beliau lagi, pemerintah tertinggi negara itu termasuk Menteri Tenaga, Infrastruktur, Perumahan dan Pengangkutan UAE, Muhammad Suhail Al-Mazrouei memberikan jaminan untuk memberikan kerjasama kepada Malaysia bagi mendapatkan manfaat daripada sistem TVET yang diamalkan.
“Alhamdulillah, kita dapat melihat sendiri bagaimana UAE membangunkan TVET di negara ini.
“Mereka mewujudkan institusi khusus yang dinamakan ACTVET yang mana pada awal umur 12 tahun, mereka didedahkan dengan pelbagai kemahiran-kemahiran yang terkait dengan teknikal dan vokasional beraras tinggi dan menjadikan World Skill Championship sebagai tanda aras bagi mereka membangunkan korikulum.
“Semoga segala gerak kerja dan lawatan yang begitu bermanfaat ini akan dapat kita realisasikan dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya. – UMNO Online