‘Makin Diamkan Diri, Makin Banyak Tohmahan ADUN Pas Terengganu Kepada UMNO’ – Tengku Haphiz

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menempelak pemimpin Pas Terengganu yang menuduh UMNO tidak mengamalkan politik terbuka dan menyekat kebebasan berilmu kerana menghalang pemimpin Pas memasuki institusi dan mendekati pelajar.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu itu malah menyifatkan isu yang ditimbulkan itu adalah permainan politik Pas kerana tindakan menyoal kehadiran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat ke program yang diperkatakan tersebut sesuatu yang dikesali.

Katanya ini kerana kehadiran Rozi yang juga sebagai Pengerusi Ketengah Jaya dan Pengerusi Penasihat Giat Mara Negeri ke universiti adalah  jemputan dari penganjur dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pendidikan syarikat tersebut.

“Beberapa hari ini kecoh pemimpin Pas Terengganu menyerang Datuk Rozi berkenaan isu bertemu pelajar. Tidak cukup di media sosial, diserang pula di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN). Malahan, apabila pihak kami mendiamkan diri, dihujani tohmahan menyentuh peribadi pemimpin UMNO yang tidak layak mendekati pelajar kerana tiada kelayakan akademik.

“Saya nak menyebut beberapa perkara sebagai bukti bahawa apa yang disebut oleh ADUN Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi adalah tidak benar sama sekali.

“Berdasarkan portfolio yang diamanahkan pihak yang melaksanakan program menjemput bagi Datuk Rozi memberi taklimat peluang dan ruang yang boleh diambil pelajar untuk menyambung pelajaran dan CSR pendidikan syarikat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau malah berkata pertemuan Rozi bersama kepimpinan mahasiswa juga sebagai jemputan bagi meraikan usaha gigih mereka dalam membangunkan kepimpinan mahasiswa di kampus yang juga dibuat di luar kampus tanpa melibatkan kos, sensitiviti universiti ataupun melanggari AKTA Universiti 1971.

Menurut beliau sekiranya mahu menuduh UMNO menidakkan keterbukaan mahasiswa, pemimpin Pas juga mungkin terlupa bahawa kebebasan berkarya untuk mahasiswa telah diluluskan secara majorti dalam Pindaan AUKU pada 2018 di Parlimen membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa terbabit dalam aktiviti politik di kampus.

“Malahan, baru-baru ini ada beberapa pindaan AUKU juga telah diluluskan melibatkan lima fasal dan enam peruntukan atas semangat mendengar keluhan mahasiswa seterusnya mengangkat martabat kemahasiswaan.

“Maka, kita bantulah anak bangsa ini dengan bersungguh-sungguh dengan ruang yang ada. Pada padangan saya juga YB yang diangkat menjadi wakil rakyat apa salahnya, jadikan sidang DUN Terengganu sebagai medan turut memperkasakan kemahasiswaan lebih-lebih lagi Terengganu memiliki beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Dalam pembentangan bajet 2025 Menteri Besar Terengganu, langsung tiada menyentuh soal pemerkasaan IPT dalam negeri. Mungkin YB, seharusnya membangkitkan soal apa yang boleh kerajaan bantu IPT ini, lebih- lebih lagi ianya adalah produk pendidikan Terengganu,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Tengku Haphiz turut sama memaklumkan beliau menerima tawaran Dr Tengku Muhammad Fakhruddin untuk berdebat seperti yang disebut wakil rakyat tersebut di DUN Terengganu.

“Saya mendengar ucapan bahas Bajet 2025 oleh YB Sura, mencabar di dalam DUN Terengganu yang wakil UMNO tiada dalam dewan tersebut agar saya berdiskusi atau berdebat dengan beliau tentang apa sahaja isu dan syaratnya disebut sendiri oleh beliau mesti dibuat dihadapan pelajar Unisza dan UMT.

“Alhamdulilah ajakan saya pada tahun 2023 kepada Ketua Pemuda PAS Terengganu telah disambut oleh wakil beliau. Mungkin saya tidak layak untuk berdiskusi bersama Ketua Pemuda Negeri Pas, Harun Esa. Walaubagaimanapun dengan rasa rendah diri dan tanpa sifat sombong saya bersedia bersama-sama YB demi anak belia Terengganu, malahan saya ingin cadangkan elok juga kita operasikan perbincangan kita nanti di hostkan oleh mana-mana pihak media utama,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit